PETALING JAYA: Kemeriahan menyambut Hari Raya Aidilfitri semakin terasa apabila perantau terus membanjiri kampung halaman di seluruh negara untuk beraya bersama ahli keluarga selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian kerana sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.
Tinjauan di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang dan Johor mendapati suasana meriah dengan ahli keluarga menunggu dan menyambut kepulangan perantau.
Susulan itu, suasana di ibu kota semakin lengang manakala bandar-bandar di seluruh negeri sesak dengan perantau yang berebut-rebut membeli-belah sebagai persiapan akhir menjelang hari raya.
Turut sesak ialah mesin pengeluaran wang automatik (ATM), stesen minyak dan pusat-pusat servis kenderaan.
Aidilfitri tahun ini sangat bermakna apabila kerajaan melonggarkan hampir semua prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 seperti membenarkan aktiviti rentas negeri, ziarah kubur, jamuan raya dan solat raya tanpa penjarakan sosial.
Lebih 16 juta
Setakat pukul 2 petang semalam, dianggarkan lebih 16 juta perantau dari ibu negara dan bandar-bandar besar sudah ‘bersatu semula’ dengan keluarga di kampung halaman masing-masing.
Pergerakan pulang sama ada menggunakan pengangkutan awam, udara dan menaiki kenderaan sendiri dikesan bermula sejak Jumaat lalu apabila kerajaan turut menghadiahkan tol percuma bagi meraikan rakyat Malaysia yang ‘terlepas’ dua kali Hari Raya Aidilfitri.
Di JOHOR, dianggarkan lebih sejuta kenderaan bakal memasuki negeri itu termasuk melalui pintu sempadan Johor-Singapura untuk menyambut Aidilfitri.
Lalu lintas di Tambak Johor dari Woodlands menuju ke Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) semakin sesak semalam susulan cuti umum Hari Pekerja selain cuti peristiwa bagi Johor pada esok sebagai persediaan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Malah, pusat beli-belah utama terus dikunjungi orang ramai untuk berbelanja pada saat-saat akhir bagi mendapatkan kelengkapan hari raya.
Perantau
Di MELAKA, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri meramalkan sebanyak 120,000 kenderaan terdiri daripada pelancong dan perantau akan memasuki negeri itu sepanjang Hari Raya Aidilfitri minggu ini.
Ketuanya, Superintenden Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, susulan itu lebih 100 anggota polis ditugaskan menjaga aliran trafik dan tiada sekatan jalan raya dilakukan bagi memastikan kelancaran lalu lintas.
Di KEDAH, sebanyak 1.4 juta kenderaan mula memasuki negeri tersebut secara berperingkat sehingga menjelang sambutan Aidilfitri.
Ketua JSPT Kedah, Superintenden Mohd. Mahiri Hussin berkata, jumlah itu meningkat hampir dua kali ganda berbanding raya tahun lalu sekitar 500,000 kenderaan sahaja.
“JSPT turut menubuhkan pasukan khas bagi mengawal dan memantau kesalahan lalu lintas di beberapa daerah yang dijangka sibuk dan kadar kemalangan tinggi.
“Antara daerah yang diberi tumpuan termasuk daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim dan Kubang Pasu,” katanya di sini semalam.
Dihurung semut
Di KELANTAN, polis menganggarkan lebih dua juta kenderaan perantau dan pelancong domestik keluar masuk negeri itu susulan tiada lagi sekatan sepanjang Syawal tahun ini.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, anggaran itu berdasarkan statistik terkini jumlah kenderaan keluar masuk Kelantan yang mencecah 300,000 hingga 350,000 sehari bermula 1 April hingga awal Ramadan.
Dalam tinjauan semalam, bandar Kota Bharu bagai dihurung semut apabila orang ramai membanjiri lokasi tumpuan untuk beli-belah.
Di Uptown Kota Bharu di Jalan Parit Dalam malam kelmarin sesak luar biasa hingga sukar untuk pengunjung bergerak.
Di PERLIS, kira-kira 80,000 kenderaan dijangka memasuki negeri itu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, anggaran kemasukan kenderaan itu dibuat berdasarkan 30 peratus penduduk negeri ini yang bekerja atau tinggal di luar yang pulang ke kampung halaman.- UTUSAN










