KUALA LUMPUR: Individu dikenali sebagai Abdullah diminta supaya memberi kerjasama kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi membantu siasatan berhubung isu pusat penyembelihan halal di Australia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menjelaskan, pegawai atase Jakim di Australia telah pun bertemu dengan individu berkenaan.
Katanya, Abdullah berjanji akan menghubungi semula pegawai berkenaan, namun masih belum berbuat demikian sehingga kini.
“Empat hari lepas, saya telah bermesyuarat dengan pegawai atase Jakim di Australia bersama Ketua Pengarah Jakim, nak dapatkan secara langsung apa yang berlaku sebenarnya.
“Pegawai itu ceritalah apa yang berlaku dan tindakan drastik kita ketika ini ialah menggantung operasi pusat loji penyembelihan itu.
“Kita juga sekarang ini berusaha untuk menghubungi individu yang buat pendedahan itu dan kita nak supaya dia beri kerjasama yang baik. Namun, setakat ini dia belum lagi hubungi kita,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga meminta supaya Abdullah bekerjasama secara terus kepada Jakim dan bukannya melalui pihak ketiga.
“Kalau ikut maklumat, ada pegawai dapat menghubungi beliau dan dikatakan akan menghubungi kita semula tetapi sampai sekarang tidak hubungi semula.
“Kalau ikutkan maklumat, pemberi maklumat itu adalah orang Somalia. Tetapi yang penting kita nak informasi yang lengkap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Nasional Islam, Keluarga Malaysia dan Keharmonian: Membina Agenda Kalis Cabaran Masa Depan sempena sambutan Ulang Tahun Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang ke-30.
Semalam, Abdullah mengakui sedia untuk tampil membantu siasatan, dengan syarat, keselamatan membabitkan diri dan keluarganya terjamin.
Dia juga bersedia berjumpa mana-mana pihak berkuasa termasuk Jakim pada bila-bila masa serta di mana jua.
Dalam pada itu, Idris juga memaklumkan, Thomas Foods International (TFI) membekalkan sebanyak 18 peratus bekalan daging importnya ke Malaysia.
“Ada 16 loji di sana dengan 15 daripadanya beroperasi, syarikat yang disebut itu lebih kurang 18 peratus menjadi pengeksport ke tempat kita.
“Kalau mengikut apa yang didedahkan, lebih dari itu tapi mengikut fakta diberikan pegawai atase kita di sana adalah 18 peratus,” katanya.
Sebelum ini, Abdullah membuat pengakuan terbuka dengan mendakwa ada bukti rakaman video cara sembelihan haiwan di situ yang melanggar protokol sebagaimana didedahkan Utusan Malaysia sejak 14 April lalu.
Ekoran itu, Jakim dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung lesen loji sembelihan TFI Lobethal di Australia susulan isu penyembelihan yang meragukan itu sehingga satu hasil siasatan menyeluruh diperoleh. – UTUSAN










