21.09 juta layak mengundi jika PRU-15 bila-bila masa

21.09 juta layak mengundi jika PRU-15 bila-bila masa

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk menguatkuasakan Akta Pilihan Raya 1954 terhadap calon yang melanggar undang-undang pilihan raya. – UTUSAN/AMIR KHALID GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI menjangkakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berlangsung dalam tahun ini. 

Penyelidik ekonomi antaranya firma penyelidikan, CGS-CIMB turut meramalkan sedemikian, masa paling awal diadakan PRU-15 ialah pada Ogos.

Kebanyakan penganalisis politik pula mengambil pandangan PRU-15 kini menghitung hari selepas Majlis Kerja Tertinggi UMNO memutuskan untuk tidak meneruskan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) selepas 31 Julai ini.

Ini bermakna tinggal lagi lebih kurang dua bulan untuk memberi semula mandat kepada rakyat memilih kerajaan baharu. 

Jika benar berlaku, ia adalah lebih awal setahun dari tempoh sebenar penggal Parlimen Ke-14 ini berakhir pada September 2023.

Sebagai badan yang bertanggungjawab menguruskan dan memastikan proses pilihan raya berjalan dengan lancar, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tentunya sudah bersedia pada bila-bila masa jika Parlimen dibubarkan. 

Apatah lagi dengan pertambahan jumlah pemilih baharu selepas pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun lalu melalui pewartaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019. 

Menurut sumber SPR, sejumlah 21,090,980 pemilih terkini direkodkan sehingga bulan lalu meliputi pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik layak mengundi.

Daripada jumlah itu, seramai 5,873,916 pemilih sudah didaftarkan automatik melalui pewartaan Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019.

Ia meliputi 5,718,760 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas direkodkan sehingga 31 Disember 2021 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, manakala selebihnya adalah daftar pemilih tambahan mengikut bulan pada tahun ini sehingga April lalu.

Daftar pemilih tambahan pada Januari 2022 merekodkan sebanyak 36,408 orang; 38,004 orang (Februari); 40,543 orang (Mac) dan 40,201 orang (April).

Jika PRU-15 diadakan Ogos, akan ada lagi tambahan sekitar 80,000 pemilih baharu untuk tempoh dua bulan yang akan diwartakan sekiranya trend tambahan pengundi sekitar 36,000 ke 40,000. 

Tentunya ia merupakan medan PRU yang agak mencabar dengan tambahan jumlah pengundi sebanyak 6,150,356 berbanding seramai 14,940,624 pemilih pada PRU-14 lalu apatah lagi dengan situasi pasca Covid-19. 

Pilihan di tangan rakyat penentu pemimpin sebuah kerajaan stabil dalam sebuah negara demokrasi.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN