20 pendaki berdepan detik cemas tapak khemah dipanah petir

20 pendaki berdepan detik cemas tapak khemah dipanah petir

ANGGOTA polis membantu pendaki yang cerdera turun ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Batu Berangkai, Kampar hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Sekumpulan 20 pendaki berdepan detik cemas selepas tapak perkhemahan mereka disambar petir di Gunung Bujang Melaka di sini awal pagi tadi.

Kejadian sekitar pukul 4 pagi itu menyebabkan beberapa pendaki mengalami kekejangan dan kebas di beberapa anggota badan termasuk seorang daripada mereka diserang sawan.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Chua Soo Sheng, 34, berkata, dalam kejadian ketika hujan lebat itu, kebanyakan mereka sedang tidur sebelum dikejutkan dengan pancaran kilat diiringi bunyi dentuman kuat.

Katanya, dia yang tersedar mendapati sukar bernafas dan keadaan itu disedari oleh adik lelakinya yang segera memberi bantuan kecemasan.

“Hujan lebat diiringi guruh bermula pukul 3.30 pagi. Ketika itu, ada rakan yang belum tidur melihat cahaya kilat melintasi tapak perkhemahan tersebut.

“Akibat panahan petir itu, sebahagian daripada kami terkena renjatan hingga mengakibatkan kekejangan dan kebas. Saya yang diserang sawan pula segera diberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum mereka menghubungi talian kecemasan untuk bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Soo Sheng, dia yang pertama kali datang ke lokasi pendakian itu mula mendaki ke kawasan berkenaan pada pukul 9 pagi semalam dan merancang untuk keluar petang ini.

“Kami datang daripada pelbagai tempat dan berkumpul di sini (Gunung Bujang Melaka) untuk memulakan pendakian. Ini kali pertama saya berdepan situasi cemas seperti ini dan saya akui agak takut untuk datang ke sini lagi,” katanya yang berasal dari Kuala Terengganu, Terengganu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar, Mohd. Hisyam Zakariah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada pukul 5.26 pagi sebelum sepasukan 12 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya, berdasarkan maklumat, kesemua 20 pendaki itu berada di ‘check point’ ke empat iaitu pada ketinggian 1,000 meter dari aras laut.

“Operasi segera dijalankan untuk membawa mangsa turun. Tempoh perjalanan untuk ke lokasi pendaki itu berada mengambil masa kira-kira empat jam.

“Mangsa yang ditemui di check point ke empat iaitu di tapak perkhemahan di kem lebah telah diringi oleh anggota ke kaki bukit dalam keadaan selamat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN