PEKAN: Bekas pesakit kanser, Mohd. Zaki Yamani Azman, 42, atau lebih dikenali sebagai Zaki Bijak menamatkan misi solo berkayak sejauh 550 kilometer menghilir Sungai Pahang dari Cameron Highlands ke Pekan, bagi menyampaikan mesej bahawa kanser bukan noktah kehidupan.
Misi selama 10 hari itu dilaksanakan sempena ulang tahun ke-10 penubuhan Cancer Fighter Malaysia (CFM), sebuah pertubuhan yang diasaskannya sendiri pada 2014 selepas pulih daripada penyakit tersebut.
Katanya, misi solo itu bukan sekadar cabaran fizikal tetapi satu perjalanan jiwa untuk menyuntik semangat kepada pesakit kanser yang sedang berjuang dan mereka yang sudah pulih supaya tidak berputus asa dalam kehidupan.
“Alhamdulillah, saya menamatkan misi ini dengan selamat. Ia bukan sekadar kayuhan, tetapi simbol kekuatan, harapan dan kasih sayang. Saya mahu pesakit kanser tahu, mereka tidak keseorangan,” katanya ketika ditemui di Jeti Pekan selepas tamat kayuhan, semalam.
Mohd. Zaki Yamani memulakan ekspedisi itu dari Kampung Semoi Baru, Cameron Highlands minggu lalu dengan menyusuri Sungai Jelai sebelum bertemu Sungai Pahang dan mengayuh setiap hari sejauh lebih 50 kilometer.
Sepanjang dua hari pertama, beliau menerima bantuan logistik dan keselamatan daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Persekutuan Pengakap Pahang serta Tourism Pahang.
Antara cabaran utama yang dihadapi oleh Mohd. Zaki Yamani adalah cuaca yang tidak menentu, arus sungai yang deras serta keletihan mengayuh secara bersendirian berjam-jam setiap hari tanpa bantuan kru tetap.
Namun katanya, semua cabaran itu menjadi kecil apabila dibandingkan dengan apa yang pernah dilaluinya semasa menempuh rawatan kanser suatu ketika dahulu yang menuntut ketabahan jauh lebih tinggi.-UTUSAN











