PETALING JAYA: Kerajaan digesa mewujudkan semula tabung untuk pesakit kronik bagi membantu golongan tidak berkemampuan mendapatkan rawatan di pusat-pusat perubatan swasta susulan masa menunggu di hospital kerajaan terlalu lama.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, tabung pesakit kronik dan bantuan hemodialisis sangat membantu terutamanya buat golongan yang tidak mempunyai pelan insurans perubatan.
Menurut beliau, ini berikutan rawatan penyakit kronik seperti jantung dan kanser memerlukan kos rawatan yang tinggi.
“Tabung pesakit kronik perlu ada untuk merawat pesakit yang kurang mampu untuk dapat rawatan yang cepat dan lebih baik apabila masih ramai rakyat di negara ini tidak ada insurans perubatan.
“Rawatan penyakit kronik seperti jantung dan kanser bukan hanya kosnya yang tinggi, tetapi termasuk pembelian ubat yang mahal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Kementerian Kesihatan sebelum ini pernah mewujudkan tabung untuk membantu pesakit kronik kurang berkemampuan.
Pesakit kronik
Sementara tu, Pegawai Perhubungan Persatuan Amal dan Kebajikan Penyakit Kronik (PAKPK), Nurbazla Zailan berkata, dianggarkan terdapat kira-kira 300 pesakit kronik di beberapa negeri terpaksa menunggu untuk tempoh yang lama bagi mendapatkan rawatan di hospital kerajaan kerana tidak mampu membiayai rawatan di hospital swasta.
Jumlah itu berdasarkan rekod penerima bantuan PAKPK yang sudah beroperasi hampir tiga tahun dan membantu pesakit kronik di Melaka, Selangor, Pahang dan Seremban.
Menurut beliau, pihaknya bagaimanapun percaya lebih banyak kes yang belum dilaporkan dan tidak dapat dibantu terutamanya membabitkan golongan yang kurang berkemampuan.
Katanya, hampir RM300,000 diperuntukkan untuk membantu pesakit dengan peruntukan sehingga RM3,000 setiap seorang dengan hampir 30 orang meninggal dunia sebelum dan semasa mendapatkan rawatan.
“Kebanyakan pesakit yang kami bantu sedang menunggu itu terdiri daripada pesakit kanser dengan kebanyakannya adalah kanak-kanak.
“Pesakit juga ada yang masih dalam proses tempoh kemoterapi dan ada yang dalam tempoh dialisis dengan beberapa orang juga sudah meninggal,” kata beliau.
Beliau mengulas tempoh menunggu yang lama memberi kesan kepada pesakit.
Isu penyelesaian cara cepat adalah untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta, namun kos rawatannya yang tinggi membebankan pesakit terutamanya mereka yang tidak mempunyai insurans perubatan.
Menurut Nurbazla, mana-mana pertubuhan bukan kerajaan juga sudah tentu tidak mampu membantu terutamanya dari segi kewangan kepada pesakit kronik khususnya bagi mendapatkan rawatan di hospital swasta.
“Kami dengan kekangan dana dan tenaga hanya mampu untuk bantu dari segi kos sara hidup RM1,000 bagi setiap pesakit termasuk keperluan makanan, lampin pakai buang dan lain-lain.
“Nak bantu dari segi kos perubatan pun kita perlu mengutamakan pesakit yang lebih utama dan kronik,” katanya. – UTUSAN










