[VIDEO] 'Mangsa' kemalangan lari selepas ‘dilanggar’ - Utusan Malaysia

[VIDEO] ‘Mangsa’ kemalangan lari selepas ‘dilanggar’

TANGKAP layar daripada sebuah video tular seorang lelaki berlari ke arah sebuah kereta yang sedang bergerak untuk merempuhnya sebelum menghilangkan diri di Jalan Goh Hock Huat di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Cubaan untuk terlibat dalam kemalangan, seorang lelaki dilihat menunggu kenderaan lalu dekat Jalan Goh Hock Huat di sini sebelum berlari ke arahnya dan ‘bertembung’.

Menerusi sebuah video yang tular dalam media sosial sejak minggu lalu, seorang pemandu berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya dirempuh seorang lelaki yang berlari ke arahnya sebaik sahaja belok masuk ke jalan tersebut.

Bagaimanapun, ketika ‘mangsa’ kemalangan cuba dibantu oleh pemandu dan memaklumkan kejadian tersebut dirakam menerusi kamera papan pemuka dalam kereta, dia terus melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, susulan kejadian polis berjaya mengenal pasti insiden tersebut selepas pemandu kereta berkenaan tampil membuat laporan polis terhadap insiden kira-kira pukul 12.08 tengah hari, 7 April lalu itu.

RAKAMAN video seorang lelaki berlari ke arah sebuah kereta yang sedang bergerak untuk merempuhnya sebelum menghilangkan diri di Jalan Goh Hock Huat di Klang, Selangor. – MEDIA SOSIAL

“Berdasarkan laporan itu, seorang lelaki tidak dikenali yang berada di tengah jalan tiba-tiba melintas dan terus berlari melompat ke arah cermin depan kereta tersebut.

“Sejurus selepas kemalangan, pengadu memaklumkan kepada pejalan kaki itu bahawa keretanya mempunyai rakaman kamera papan pemuka lalu lelaki berkenaan terus beredar dengan hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Jelas Vijaya Rao, pencarian lelaki itu dilakukan pihaknya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan klinik berdekatan.

“Namun, lelaki berkenaan didapati tidak menerima sebarang rawatan di mana-mana pusat perubatan. Selain itu, tiada saksi tampil bagi membantu siasatan setakat ini,” jelasnya.

Tambah beliau, kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Sehubungan itu, Vijaya meminta saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya tampil di balai polis berhampiran bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan mengesan pejalan kaki berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya