[Video] Biawak air lauk nelayan Vietnam - Utusan Malaysia

[Video] Biawak air lauk nelayan Vietnam

Salah satu gambar nelayan Vietnam memikul biawak yang akan dijadikan lauk mereka ketika berlabuh di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Makan apa sahaja termasuk biawak. Itu kehidupan sekumpulan nelayan Vietnam yang memburu biawak air di kawasan berpaya di sekitar Semerak, di sini untuk dijadikan santapan harian.

Difahamkan, kumpulan tersebut curi-curi masuk ke kawasan kampung dan paya semata-mata mahu memburu biawak air untuk dimakan selepas bot mereka berlabuh di kawasan pelabuhan Tok Bali, di sini.

Gelagat mereka memikul beberapa ekor biawak air turut dirakam penduduk sebelum klip video itu tular di media sosial Facebook selepas dikongsikan pemilik akaun bernama Romeo Pocong sejak tengah malam tadi. 

“Menu `berbuka’ hari ini. Awak-awak Vietnam masuk kampung berjalan kaki dari Tok Bali.

“Setibanya di depan rumah ambo (saya) di Semerak, sempat saya bertanya dalam bahasa Vietnam dan mereka jawab biawak-biawak ini untuk makan bersama sesuap nasi,” tulis Romeo Pocong di Facebook.

TANGKAP layar klip video tular memaparkan sekumpulan nelayan Vietnam memikul biawak yang akan dijadikan lauk santapan mereka ketika berlabuh di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani memberitahu Utusan Malaysia, biawak air adalah hidupan liar dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Menurut beliau, penangkapan bagi tujuan pemeliharan sendiri atau dijadikan makanan atau pemerdagangan haiwan dengan nama saintifik Vavanus salvator  salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Kes melibatkan nelayan warga Vietnam khususnya di Tok Bali dalam pemerhatian Perhilitan Modus operandi terbaharu yang kita kesan. Nelayan asing terbabit tidak tunggu lama di pelabuhan, sebaliknya cepat-cepat pergi selepas mereka berjaya menangkap biawak.

“Menerusi Operasi Bersepadu Khazanah, dua kes jenayah berkaitan hidupan liar dicatatkan pada 2019 dan 2020. Kegiatan menangkap biawak air ini terhenti seketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun dikesan semula sekarang ini.

Mohamad Hafid berkata, pihaknya sedang mengesan kumpulan nelayan tersebut untuk diambil tindakan selain menyeru orang awam menghubungi Perhilitan Kelantan di talian 011-5927 5985 bagi membanteras aktiviti seumpama itu.UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN