MADRID: Sepanyol bakal mengambil langkah proaktif dengan memfailkan aduan rasmi kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung insiden yang menimpa Global Sumud Flotilla, kapal bantuan kemanusiaan yang dalam pelayaran ke Gaza bagi memecahkan sekatan Israel.
Menteri Dalam Negeri Sepanyol, Fernando Grande-Marlaska berkata, sebarang serangan terhadap individu di perairan antarabangsa merupakan satu bentuk penahanan tidak sah di sisi undang-undang domestik dan antarabangsa.
“Sepanyol tidak akan berdiam diri terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa, apatah lagi apabila ia membabitkan warganegara kami yang terlibat dalam misi kemanusiaan,” tegasnya.
Pada Ahad lalu, seramai 29 aktivis yang menyertai flotila berkenaan tiba di ibu negara Sepanyol, Madrid, selepas didakwa diserang dan ditahan oleh tentera Israel ketika berada di perairan antarabangsa.
Menurut laporan Agence France-Presse (AFP), beberapa aktivis Sepanyol mendakwa mereka mengalami penderaan fizikal dan psikologi ketika berada dalam tahanan rejim itu.
Seorang peserta flotila, Rafael Borrego, menceritakan pengalaman pahit mereka ketika ditahan di Israel.
“Penderaan fizikal dan mental berlangsung selama beberapa hari. Kami dipukul, diseret di atas tanah, ditutup mata serta diikat tangan dan kaki,” katanya kepada wartawan.
Sementara itu, Menteri Luar Sepanyol, Jose Manuel Albares, dalam temu bual bersama stesen Catalunya Radio memaklumkan 28 lagi aktivis Sepanyol yang masih ditahan di Israel dijangka akan dibebaskan dan pulang ke tanah air pada Isnin.
Flotila tersebut membawa bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa bagi mencabar sekatan Israel yang berlarutan sejak bertahun-tahun, dan insiden ini dijangka menambahkan lagi tekanan diplomatik terhadap Tel Aviv. — AGENSI










