MELAKA: Peniaga ayam di Pasar Besar Melaka di sini merayu kepada kerajaan agar caj pemotongan ayam tidak dipamerkan kepada pelanggan, sebaliknya kos itu diserap masuk dalam harga kawalan.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, seorang peniaga, Ghazali Abu Bakar, 48, berkata, langkah itu dilihat memudahkan proses jual beli kerana tidak perlu lagi memberi penerangan kepada setiap pelanggan yang bertanya.
Katanya, tanpa caj tersebut, rata-rata peniaga hanya memperoleh untung sebanyak 10 sen bagi sekilogram.
“Harga ayam hidup RM7 sekilogram dan kos proses sebanyak RM1.80 menjadikan kos akhir adalah RM8.80 sekilogram. Kerajaan minta jual pada harga RM8.90 sekilogram, mustahil kami dapat bertahan dengan untung 10 sen.
“Sebab itu kami mencadangkan caj potong ayam dimasukkan sekali supaya pelanggan pun faham itu adalah harga jualan. Namun, saya sendiri tidak tahu mengapa kerajaan enggan melaksanakan cadangan ini sebaliknya mahu kekal pada harga kawalan sedia ada.
“Caj pemotongan ini telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Justeru, mengapa ia tidak boleh dilaksanakan?” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, pada 7 April lalu, akhbar ini melaporkan, seorang peniaga di sebuah pasar di Alor Gajah dekat sini terpaksa mengenakan caj 50 sen kepada para pelanggannya bagi khidmat pemotongan ayam, selepas margin keuntungannya merosot.
Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmad, 55, berkata, sebelum ini, dia tidak mengenakan caj, namun terpaksa berbuat demikian selepas buntu memikirkan kos seekor ayam yang semakin mahal.
Dalam pada itu, tinjauan terkini di Pasar Besar Melaka mendapati, rata-rata peniaga mengenakan upah potong ayam sebanyak 60 sen dan caj itu dipamerkan di gerai masing-masing.
Tambah Ghazali, dia yang berniaga sejak 22 tahun lalu tidak pernah mengenakan caj pemotongan kepada pelanggan.
Bagaimanapun, katanya, disebabkan harga kawalan yang terlalu rendah dikuatkuasakan kerajaan hari ini menyebabkannya terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan perniagaan.
“Kerajaan dilihat terlalu membela pengguna sehingga kami terhimpit tanpa mendapat pembelaan sewajarnya. Kerajaan mula mengawal harga ayam selepas Tahun Baharu Cina.
“Selesaikan dulu masalah di peringkat penternak yang berdepan kenaikan dedak ayam. Kalau isu tersebut tidak selesai, mengapa peniaga runcit yang menjadi mangsa kawalan harga yang kami sendiri tidak boleh kawal,” ujarnya. – UTUSAN