KUANTAN: Polis menahan lima suspek termasuk sepasang suami isteri yang baru berkahwin kerana disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di sekitar kawasan Felda dan Rompin, 12 April lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penahanan itu sekali gus menumpaskan sindiket Belly yang dikatakan giat mengedar dadah sejak lebih setahun lalu.
Menurutnya, serbuan dilakukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) daerah Rompin itu merampas keseluruhan dadah dianggarkan bernilai RM40,693.49 dan rampasan harta bernilai RM49,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM89,693.49.
“Dalam tangkapan 12 April lalu, polis menahan dua daripada suspek yang merupakan lelaki berusia antara 30 tahun dan 42 tahun disebuah rumah tumpangan di Bukit Ubi, di sini.
“Serbuan sekitar pukul 1.45 petang itu menemukan dua paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis Heroin anggaran berat 5.63 gram dan enam paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki Syabu dengan anggaran berat 2.16 gram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Ramli dalam pada itu berkata, hasil siasatan awal menbawa kepada penahanan seterusnya iaitu dua wanita berusia 27 tahun dan 24 tahun disyaki terlibat sama dalam pengedaran dadah di tepi tangga kedai di Jalan Beserah, di sini, sekitar pukul 4.30 petang pada 12 April lalu.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua wanita itu, polis merampas anak kunci dan sebuah kereta jenis Honda Accord.
“Dalam pada itu, ketika siasatan terhadap semua suspek, seorang daripadanya bertindak menawarkan sejumlah wang bernilai RM80,000 sebagai dorongan membebaskan diri dan rakannya. Susulan itu, polis dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan tangkapan seorang lagi suspek sindiket terbabit yang bertindak membawa wang untuk menyogok polis.
“Suspek berusia 46 tahun itu yang dipercayai ketua sindiket Belly cuba menyogok pihak berkuasa dengan membawa wang berjumlah RM45,000 ketika bagi membebaskan rakannya dan cubaan tersebut gagal apabila dia akhirnya diberkas di sebuah stesen minyak, di Jalan Beserah, di sini, semalam,” katanya.
Tambah beliau, tokan terbabit dipercayai berasal dari daerah ini dan tidak mempunyai kerja tetap dan suami kepada suspek wanita berusia 27 tahun.
“Semua bekalan dadah jenis Heroin dan Syabu dibawa masuk tokan terbabit dari Johor dan Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda dan sekitar Keratong, Rompin. Tokan dadah itu memiliki 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan berada dalam tahanan pihak SPRM dan disiasat di bawah Seksyen 17(B) Akta SPRM 2009.
“Empat suspek lain yang terlibat pula disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan, jika disabit kesalahan.
“Mereka juga disiasat di bawah Seksyen 39(a)1 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih lima tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang dari tiga sebatan tetapi tidak lebih dari sembilan sebatan,” katanya.
Sementara itu, kata Ramli, menerusi tangkapan tersebut, polis menemukan sebuah bilik sewa di Jalan Beserah, di sini, dipercayai dijadikan sebagai stor sindiket berkenaan.
“Hasil pemeriksaan di bilik tersebut, polis menemukan sebuah peti besi bersaiz kecil, satu paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki Heroin dengan anggaran berat 462.28 gram dan satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 124.55 gram.
“Selain itu, terdapat lagi paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 1382.73 gram, satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 128.65 gram dan satu paket plastik biru berisi bahan disyaki pil yaba dengan anggaran berat 11 gram (100 biji),” katanya. – UTUSAN










