TMJ mahu kerajaan selesai masalah graduan menganggur - Utusan Malaysia

TMJ mahu kerajaan selesai masalah graduan menganggur

TUNKU Ismail Sultan Ibrahim (tengah) berkenan menerima menghadap Noraini Ahmad dan delegasi Kementerian Pendidikan Tinggi bagi membincangkan isu berkenaan graduan menganggur di Johor Bahru, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mahu Kementerian Pengajian Tinggi meningkatkan kebolehpasaran graduan universiti tempatan dalam mengisi kekosongan kerja pada masa depan.

Titah baginda, masalah lambakan graduan tidak mendapat pekerjaan adalah disebabkan tahap kebolehpasaran yang rendah dan ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran kemahiran.

Menurutnya, isu berkenaan bukan sahaja kesan daripada pandemik Covid-19, tetapi masalah sistemik yang telah wujud selama bertahun-tahun.

“Isu-isu ini perlu ditangani dengan segera dan sistematik untuk membantu graduan meningkatkan kebolehpasaran mereka di masa hadapan. Menteri Pengajian Tinggi telah beri jaminan kepada saya bahawa kementerian sedang meneliti isu-isu tersebut pada waktu ini.

“Pada masa ini bilangan pelajar universiti yang menamatkan pengajian melebihi bilangan peluang pekerjaan yang ada. Jika kita tidak menangani isu ini dengan segera, populasi belia yang ‘berpendidikan tetapi menganggur’ akan bertambah,” titah baginda hari ini.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menerima menghadap Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar.

Tunku Ismail turut bertitah agar Johor sentiasa dipilih sebagai hab pendidikan tempatan dan antarabangsa di mana pelajar tempatan harus diberi lebih banyak peluang mendapatkan pendidikan tinggi yang berkualiti dan berpatutan.

“Johor juga memerlukan polisi pendidikan tinggi yang berpandangan ke hadapan yang merangkumi penggunaan pembelajaran berasaskan pengalaman untuk menyemai kemahiran abad ke-21.

“Reka bentuk dan penyampaian modul pendidikan perlu memanfaatkan teknologi termaju untuk membolehkan pembelajaran yang lebih khusus. Pada masa yang sama pendidikan TVET juga mesti diberi keutamaan untuk menjana lebih ramai pekerja mahir untuk pelbagai industri dan meningkatkan kebolehpasaran graduan,” titah baginda.

Dalam masa sama, baginda turut mencadangkan Persatuan Mahasiswa Anak Johor diwujudkan semula di semua universiti tempatan bertujuan menjadi platform kepada mahasiswa negeri ini menjalankan pelbagai aktiviti dan program sambil berkongsi idea dan pendapat.

“Persatuan ini akan menjadi sebahagian daripada Gabungan Mahasiswa Anak Johor (GAJ) yang lebih besar di mana pelbagai aktiviti dianjurkan seperti kejohanan bola sepak antara universiti,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya