TLDM pintas bot cuba seludup burung murai, ayam sabung - Utusan Malaysia

TLDM pintas bot cuba seludup burung murai, ayam sabung

ASET milik TLDM menahan bot fiber yang melakukan aktiviti penyeludupan burung murai dan ayam sabung di perairan Johor Tenggara, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mematahkan cubaan jenayah rentas sempadan melibatkan penyeludupan burung murai batu dan kampung berserta ayam sabung menggunakan sebuah bot jenis fiber di perairan Johor Tenggara, lewat malam tadi.

TLDM dalam satu kenyataan memaklumkan, seorang lelaki warga tempatan ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan itu melalui jalan laut.

“Kejadian pada pukul 10.45 malam disedari apabila KD Handalan yang dalam penugasan Op Benteng Laut mengesan keberadaan sebuah bot fiber yang mencurigakan berhampiran Jeti Penumpang Tanjung Pengelih.

“Dua buah bot pemintas TLDM iaitu jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB) Julong Julong dan RHIB Santi diatur gerak bagi melaksanakan pintasan di lapangan dan menyiasat kontak curiga tersebut di posisi kira-kira 1.2 batu nautika tenggara Tanjung Pengelih. Kira-kira 10 minit kemudian, tindakan pantas RHIB Julong Julong dan RHIB Santi berjaya memintas dan seterusnya menahan bot fiber tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 120 ekor burung murai batu, 540 ekor burung murai kampung dan 14 ekor ayam sabung dikesan sebagai muatan bot disyaki akan diseludup keluar.

Jelas kenyataan itu, bot yang disita bersama penyeludup terbabit dibawa ke Jeti Penumpang Tanjung Pengelih sebelum diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.

“Hasil rampasan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Pahang bagi tindakan selanjutnya. Kita tidak akan berkompromi dalam aktiviti yang melibatkan penyeludupan dan ketidakpatuhan undang-undang negara. TLDM juga sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa maritim yang lain dalam pelaksanaan Op Benteng Laut demi menjaga keselamatan perairan dan kedaulatan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN