Tertuduh sebabkan wanita cedera parah tukar pengakuan

[VIDEO] Tertuduh sebabkan wanita cedera parah tukar pengakuan

KHALID Redza Shuib (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada 13 April lalu.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki yang sebelum ini mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang wanita dan didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan, menukar pengakuannya di Mahkamah Majistret Seremban, di sini hari ini.

Khalid Redza Shuib, 41, menukar pengakuan kepada tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibaca semula oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Mohd. Firdaus Saleh.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan terbabit pada tarikh di antara 1 Disember 2021 sehingga 23 Mac 2022 di sebuah rumah di Taman Nee Yan, di sini terhadap Siti Syarifah Aibiddin, 35.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga tujuh tahun dan denda.

Sebelum ini, pada 13 April lalu, lelaki tersebut mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas pertuduhan berkenaan dan mahkamah menetapkan hari ini untuk mangsa mengemukakan kenyataan impak mangsa dan hukuman ke atas tertuduh.

Sementara itu, Siti Syarifah turut kelihatan hadir ke mahkamah hari ini dengan menaiki kerusi roda ditemani bapanya dan ahli keluarga serta pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memberikan kenyataan impak tersebut.

Bagaimanapun, Siti Syarifah tidak dapat berbuat demikian selepas tertuduh menukar pengakuan.

Sementara itu, peguam pemerhati, Datuk Hanif Hassan yang mewakili keluarga Siti Syarifah ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, mangsa kini sukar berjalan dan bergerak seperti biasa serta masih memerlukan bantuan penggunaan kerusi roda.

“Tetapi nampak semangatnya tinggi, dia (mangsa) masih menjalani rawatan dan kini dijaga ahli keluarganya. Hari ini, dia sendiri yang mahu memberikan kenyataan, tetapi apabila (tertuduh) sudah tidak mengaku, maknanya sudah tidak ada lagi prosiding itu,” katanya.

SITU Syarifah Aibiddin hadir ke Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, hari ini. -VIDEO/NOR SHAFAWATI YUP

Mengikut fakta kes, mangsa mengalami luka yang pelbagai peringkat iaitu dari luka baharu sehingga yang telah sembuh menandakan luka melecur tersebut dialami berulang kali pada masa yang berbeza.

Sebelum ini, media melaporkan, Khalid Redza dan seorang anak perempuannya berusia 18 tahun, didakwa di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin.

Dalam mahkamah berasingan di hadapan Majistret, Norzaliza Tesmin, Khalid Redza turut didakwa atas pertuduhan membunuh seorang perempuan, Meriamah Abdullah Basam, 29, di lokasi yang sama antara 15 hingga 17 Mac lalu dan tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh juga didakwa melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak berusia 20 bulan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau dengan penjara selama 30 tahun, dan jika dikenakan hukuman mati boleh disebat.

Mahkamah menetapkan 17 Mei ini untuk tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN