BALIK PULAU: Seorang pempengaruh Youtuber dan tiga lelaki lain disambung reman lima hari lagi sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan kes kematian seorang wanita yang dipercayai maut akibat dipukul, dua minggu lalu.
Perintah tahanan reman ke atas suspek berusia 23 tahun hingga 28 tahun itu dilakukan di Mahkamah Majistret Balik Pulau kira-kira pukul 9 pagi ini
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan lanjut perlu dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian wanita berusia 20 tahun itu.
“Siasatan lanjut akan dilakukan ke atas keempat-empat suspek iaitu seorang teman lelaki mangsa bersama tiga lagi rakan suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
“Siasatan juga akan melibatkan pelbagai aspek termasuk motif cemburu pasangan terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar baru-baru ini melaporkan penahanan seorang pemuda yang juga teman lelaki mangsa yang dilaporkan maut ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang 2 April lalu.
Kejadian berlaku ketika mangsa dan teman lelaki berusia 23 tahun itu dikatakan berada di kediaman milik Youtuber berkenaan di Teluk Kumbar di sini.
Mayat mangsa mempunyai kesan lebam lama dan baharu pada badan serta kepala dipercayai akibat dipukul menggunakan kekerasan atau objek tumpul. – UTUSAN