MERSING: Tekong bot yang membawa empat penyelam warga asing yang dilaporkan hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol di sini, ditahan polis selepas didapati positif dadah.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu pada mulanya dipanggil bagi memberi keterangan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.
Katanya, dia kemudian ditahan kira-kira pukul 11.30 malam tadi selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine melalui ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya.
“Pihak polis juga akan menyiasat dari segi kelengkapan peralatan menyelam mereka dan tempat atau pusat selaman serta elemen-elemen lain. Pasukan forensik akan tiba untuk membantu siasatan.
“Kalau ada sebarang perkara yang tidak dipatuhi dan sebagainya pun kita akan buat siasatan juga,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing.
Kamarul Zaman berkata, individu tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, empat penyelam warga asing dipercayai hilang ketika melakukan latihan menyelam berhampiran pulau tersebut. Mereka ialah lelaki warga Britain, Adrian Peter, 46 dan anaknya warga Belanda, Nathan Renze, 14.
Dua lagi penyelam merupakan seorang wanita Perancis, Alexia Alexandra, 18, dan wanita Norway, Kristine Grodem, 35. Kesemua mereka mempunyai lesen menyelam, sementara Kristine merupakan jurulatih. – UTUSAN