KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Rita Sosilawati diminta tampil memberi maklumat berkaitan dakwaan taktik penipuan menerima bungkusan berisi ganja di kediaman ahli keluarganya daripada individu tidak dikenali.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan dakwaan terbabit.
“Justeru, kita minta individu terbabit tampil membuat laporan polis agar siasatan boleh dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK di sini, hari ini.
Rabu lalu, Erni Dekritawati Yuliana yang lebih mesra dikenali Rita Sosilawati memuat naik satu posting di platform Thread mendakwa dianiaya apabila adiknya menerima satu bungkusan mencurigakan.
Dakwanya, walaupun alamat yang tertera pada bungkusan itu merupakan kediaman adiknya, nama penerima tidak dikenali oleh keluarganya.
Tulis beliau: “Scam terbaru, alamat rumah pun dah tak selamat.
Semalam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) datang rumah adik. Mereka kesan parcel alamat rumah yang (dihantar) dari Thailand mengandungi ganja seberat 7 gram (g).
“Siapa yang menganiaya keluarga saya memang saya doakan dia tak akan tenang dan selamat dunia akhirat,” katanya. – UTUSAN










