KUALA SELANGOR: “Selain amat mentaati ibunya, arwah sentiasa menjaga solat dan menyayangi kucing peliharaannya.”
Demikian kata Safaridah Mat Jonet, 52, balu kepada pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Yusri Taib, 52, yang meninggal dunia ketika solat Isyak berjemaah di Masjid An-Nur Saujana Utama, dekat sini, malam kelmarin.
Menurut Safaridah, ketika kejadian dia tidak mengikut rutin arwah untuk solat berjemaah kerana kurang sihat.
“Namun, kira-kira pukul 9.30 malam, saya berasa tidak sedap hati kerana melihat beberapa jemaah masjid di luar rumah dan memaklumkan kematian arwah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Saujana Perdana di sini, semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Allahyarham Yusri yang berasal dari Melaka rebah dalam rakaat pertama solat Isyak sebelum disahkan meninggal dunia di masjid tersebut.
Selain dijemput ilahi di bulan mulia, bapa kepada empat anak yang menjalankan perniagaan jahitan kusyen dan bantal itu turut sempat melafazkan kalimah ‘Allah’ sebelum rebah.
Pemergian Allahyarham yang dicemburui itu turut tular di media sosial dan mendapat perhatian pendakwah terkenal, Pahrol Mohamad Juoi yang berjemaah di masjid sama.
Jelas Safaridah, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara namun berhasrat menyelesaikan pengubahsuaian rumah terutama dapur.
Tambah beliau, arwah amat menyayangi semua anaknya yang berusia 17 hingga 24 tahun dan tidak pernah memarahi atau memukul biarpun semasa bertugas sebagai anggota tentera.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cerakah di sini, kira-kira pukul 10.30 pagi. – UTUSAN










