PUTRAJAYA: Tarikh akhir mengemukakan Borang Nyata Cukai Tahun Taksiran 2021 (TT 2021) pembayar cukai yang tidak menjalankan perniagaan adalah pada 30 April ini untuk secara serahan dan 15 Mei ini bagi e-filing.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan memaklumkan, tarikh itu melibatkan individu pemastautin, individu pemastautin melibatkan pekerja berpengetahuan atau berkepakaran, individu bukan pemastautin, individu bukan pemastautin melibatkan pekerja berpengetahuan, pertubuhan serta harta pusaka.
“Pembayar cukai adalah disaran mengemukakan borang nyata cukai dan membayar cukai pendapatan mereka dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan sebarang penalti lewat hantar borang dan kenaikan lewat bayar cukai.
“Pembayar cukai juga dinasihatkan mengisi maklumat diri dan perbankan yang tepat serta terkini bagi membantu kelancaran proses bayaran balik cukai, jika ada,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, LHDN menerima sebanyak 1,157,135 borang nyata cukai bagi individu pemastautin iaitu 1,133,989 bagi e-filing dan 23,146 manual sehingga 31 Mac lalu.
Sementara itu, kenyataan itu menambah, bagi tempoh sama, 263 individu pemastautin melibatkan pekerja berpengetahuan atau berkepakaran diterima borang nyata cukai mereka manakala individu bukan pemastautin (5,310 orang), individu bukan pemastautin melibatkan pekerja berpengetahuan (dua orang), pertubuhan (389 orang) dan harta pusaka (345 orang).
Tambahnya, sebagai panduan pembayar cukai boleh merujuk kepada Program Memfail Borang Nyata bagi tahun 2022 yang boleh diakses dan dimuat turun menerusi pautan https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_1.pdf bagi bahasa Melayu.
Sementara itu, bagi bahasa Inggeris jelas kenyataan tersebut, pembayar cukai boleh mengakses dan memuat turun di https://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2022_2.pdf.
Kenyataan itu memberitahu, sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara tersebut boleh dikemukakan kepada LHDN melalui talian 03-8911 1000 dan 603-8911 1100 untuk panggilan dari luar negara.
Dalam pada itu, jelasnya, pertanyaan dan maklum balas boleh diberikan menerusi HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN. – UTUSAN