Sumbang lebih RM109j, Ahmad Zahid sanggah tidak salur satu sen pun

Sumbang lebih RM109 juta, Ahmad Zahid sanggah tidak salur satu sen pun

AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada perbicaraan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. - FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Yayasan Akalbudi telah menyumbang melebihi RM109 juta untuk membiayai aktiviti amal jariah di dalam dan luar negara, sekali gus menyanggah kes pendakwaan bahawa badan amal itu tidak menyalurkan satu sen pun untuk membantu golongan yang memerlukan.

Presiden UMNO itu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, jumlah tersebut hanya sebahagian daripada sumbangan yang disenaraikan manakala selebihnya tidak perlu diceritakan berdasarkan prinsip ‘tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak perlu mengetahuinya’.

Bekas Timbalan Perdana Menteri turut mempertikai mengapa beliau dimalukan dan dizalimi walhal beliau menggunakan pendapatannya untuk menyalurkan bantuan dengan tujuan yang baik.

“Pada hari Jumaat (yang mulia) ini, saya tidak mahu menyanggah sebarang pernyataan mana-mana pihak sebagaimana prinsip yang saya pegang, kalau tangan kanan memberi, tangan kiri tak perlu mengetahuinya.

“Saya mahu keadilan diberikan kepada saya kerana sumbangan itu dilakukan dengan niat yang baik semata-mata kerana Allah SWT, mengapa saya harus dimalukan, diaibkan dan dizalimi?” ujarnya ketika mengemukakan keterangan bela diri.

Ahmad Zahid menyatakan demikian pada sesi pemeriksaan utama yang dikendalikan oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal pada hari kedua perbicaraan.

Presiden UMNO sebelum itu dirujuk kepada dua eksibit yang menyenaraikan sumbangan beliau di dalam dan luar negara sejak penubuhan Yayasan Akalbudi pada 1997 sehingga dana yang disimpan oleh pemegang amanah, Tetuan Lewis & Co. dibekukan ekoran pendakwaan terhadapnya pada 2018.

Ahmad Zahid, 69, sedang dibicarakan terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan itu.

Terdahulu, peguam bela membangkitkan isu ketika pendakwaan membentangkan kesnya bahawa Yayasan Akalbudi didakwa tidak menyalurkan walau satu sen pun daripada dana RM31 juta untuk kegiatan membantu golongan miskin dan memerlukan.

Perkara itu ditimbulkan oleh pasukan pendakwaan ketika membacakan ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan pada 18 November 2019.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika itu berkata, Ahmad Zahid yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi telah menyeleweng kira-kira RM31 juta dana yayasan itu.

Raja Rozela berkata, pihaknya akan mendedahkan melalui jejak aliran tunai bahawa tidak ada satu sen pun daripada RM31 juta itu digunakan untuk kepentingan orang miskin.

Sebaliknya kata beliau, jejak aliran tunai akan mendedahkan sejumlah amaun yang besar digunakan antara lain untuk membayar bil kredit kad peribadi, membeli polisi insurans kenderaan-bermotor dan membeli cukai jalan untuk kenderaan milik peribadi.

Pada prosiding hari ini, Ahmad Zahid turut menyambung pernyataan bertulis berhubung butiran mengenai pemegang amanah dan setiausaha syarikat Yayasan Akalbudi.

Ujar tertuduh, Syarikat Idris Kechek selaku setiausaha Yayasan Akalbudi tidak pernah mengemas kini dan menghantar laporan akaun kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sepanjang dilantik bermula Mac 1997.

Menurut Ahmad Zahid, beliau menyerahkan keseluruhan pentadbiran badan amal itu kepada Idris Kechek seperti kerja-kerja penyiapan akaun, penghantaran dokumen kepada SSM dan penyiapan audit.

Bagaimanapun beliau hanya mengetahui Idris Kechek tidak pernah menghantar sebarang dokumen kepada SSM pada 2012 menyebabkan pihaknya terpaksa menggantikannya dengan Mahinder Kaur selepas Idris Kechek meletak jawatan pada 23 Julai 2007.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 23 Mei ini.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya