PUTRAJAYA: Apa yang perlu didahulukan, solat Maghrib dahulu atau berbuka puasa dahulu?
Itu antara persoalan yang kerap bermain di fikiran umat Islam setiap kali Ramadan sehingga wujud beberapa pandangan dan pendapat.
Menjawab persoalan itu, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, beliau berpandangan, sekiranya juadah dan makanan untuk berbuka puasa telah pun dihidangkan, maka seseorang itu boleh menyelesaikan makan berbuka terlebih dahulu.
“Setelah itu, barulah menunaikan solat Maghrib. Hal ini bertujuan agar jiwanya lebih tenang dan fikirannya tidak terganggu semasa mendirikan solat Maghrib.
“Bagaimanapun, berdasarkan persoalan di atas juga, suasana masjid pada hari ini dilihat lebih suka mengambil jalan untuk berbuka dengan juadah ringan terlebih dahulu. Kami ingin nyatakan bahawa hal tersebut tidaklah bercanggah dengan syariat,” katanya menerusi portal Maktabah Al-Bakri, hari ini.
Malah katanya, solat Maghrib dahulu adalah lebih afdal kerana dapat mengamalkan sunnah berbuka puasa segera, di samping dapat menunaikan solat berjemaah dalam tempoh yang awal.
Zulkifli berkata, berdasarkan hadis sahih, dapat difahami antara amalan sunnah adalah dengan menyegerakan berbuka puasa sebaik sahaja telah dipastikan bahawa matahari telah terbenam.
“Selain itu, disebut juga dalam satu riwayat lain, bahawa Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji ruthab (kurma segar) kemudian Baginda mendirikan solat,” katanya. – UTUSAN










