Sindiket judi guna pejabat buka 'mini kasino' dikesan

Sindiket judi guna pejabat buka ‘mini kasino’ dikesan

MOHAMAD NOOR YUSOF ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sindiket perjudian yang menyewa ruangan pejabat di bangunan bertingkat untuk mengoperasikan ‘mini kasino’ di premis terbabit.

Taktik terbaru itu dibongkar Bukit Aman susulan operasi dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Subang Jaya, awal pagi kelmarin.

Ketua Penolong Pengarah D7 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, sindiket berkenaan didapati menyewa ruangan terbabit pada kadar RM4,000 sebulan.

Bagaimanapun, menurutnya, sindiket sudah membayar sewa premis berkenaan untuk diduduki bagi tempoh setahun kepada pemiliknya.

“Ini adalah modus operandi terbaharu sindiket perjudian yang kita berjaya bongkar.

“Pengoperasian mereka juga agak ketat kerana hanya individu tertentu sahaja dibenarkan untuk masuk dan bermain di dalam premis tersebut namun dengan penyamaran kami berjaya membuat serbuan,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini hari ini.

Mohamad Noor berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan ada lagi kumpulan lain yang menggunakan taktik sama bagi mengaburi mata polis.

Jelas beliau, dalam serbuan itu, seramai 16 individu berusia 20 hingga 40 tahun termasuk seorang wanita ditahan di lokasi terbabit.

“Siasatan mendapati sindiket akan beroperasi selama 24 sehari namun hanya dibuka sekitar empat kelima hari dalam seminggu.

“Berdasarkan siasatan juga, sindiket ini mengaut keuntungan sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sehari,” katanya.

Mohamad. Noor, semua suspek yang ditahan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pemilik premis dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan memeriksa perniagaan yang dijalankan oleh penyewa bagi mengelakkan risiko didakwa kerana bersekongkol.

“Tiada masalah untuk memberikan sewa premis kepada mana-mana syarikat namun adalah lebih baik mereka ambil langkah berhati-hati dengan memeriksa perniagaan penyewa terlebih dahulu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN