Sindiket guna kereta dalam buruan bank seludup rokok - Utusan Malaysia

Sindiket guna kereta dalam buruan bank seludup rokok

DUA suspek terlibat penyeludupan rokok ditahan bersama dua buah kereta dalam serbuan PGA di Taman Sri Permai di Kluang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Sindiket penyeludupan rokok didapati menggunakan kenderaan yang mempunyai tunggakan ansuran pinjaman bagi mengaburi mata pihak berkuasa untuk melakukan kegiatan menyeludup rokok.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Dimin Awang berkata, taktik itu dikesan selepas pihaknya menahan dua suspek lelaki warga tempatan berusia 32 tahun di sebuah premis di Taman Sri Permai di sini, petang semalam.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Harrier dan Lexus RX 270 yang digunakan suspek dalam buruan pihak pemiutang.

“Kira-kira pukul 2 petang, sepasukan pegawai dan anggota Batalion 5 PGA menyerbu sebuah premis di Jalan 3/1, Taman Sri Permai. Pelbagai rokok dirampas antaranya berjenama John, John DGI, Tuoro, Luftman Classic, Class Mild, Luffman Evo, Diplomat Impact, Luffman Premium Blend dan Sky One.

“Kami turut menyita Toyota Harrier dan Lexus RX 270 yang dalam buruan pihak bank tetapi digunakan suspek,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dimin berkata, semasa serbuan dijalankan, kedua-dua suspek sedang sibuk memunggah bungkusan besar yang dipercayai rokok tidak bercukai daripada kenderaan ke dalam premis berkenaan.

Katanya, premis itu dijadikan sebagai tempat penyimpanan rokok tidak bercukai sebelum diagihkan dalam pasaran di sekitar daerah Kluang.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM782,921 manakala tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

“Hasil siasatan awal ke atas suspek mengaku baru sahaja tiga bulan melakukan kegiatan itu dan bekalan rokok juga diseludup dari Indonesia melalui jalan laut tidak diwartakan. Tangkapan dan rampasan itu berjaya memutuskan kegiatan pengedaran di sekitar daerah ini,” katanya.

Katanya, orang awam diminta terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di jalan yang tidak diwartakan melalui talian hotline 07-7557280. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN