Sindiket curi kenderaan tumpas, 9 lelaki diberkas

Sindiket curi kenderaan tumpas, 9 lelaki diberkas

FISOL Salleh (kiri) dalam sidang akhbar mengenai kejayaan menumpaskan sindiket curi kenderaan di IPK Pulau Pinang, Georgetown hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan yang menyasarkan kenderaan model lama, motosikal dan lori menerusi Op Lejang Mutiara pada 2 hingga 8 April lalu.

Menerusi operasi itu, sembilan lelaki tempatan yang kebanyakannya bekerja sebagai mekanik berusia 31 tahun hingga 40 tahun diberkas di Seberang Perai Tengah, Bedong dan Kuala Ketil, Kedah.

Selain itu, polis merampas masing-masing tiga buah lori dan kereta, lima buah motosikal dan sebuah enjin kereta yang dianggarkan bernilai RM150,000.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, operasi itu bermula 2 April lalu selepas dua lelaki warga tempatan ditahan di Lebuh Raya Butterworth Kulim (BKE) kira-kira pukul 6 petang dan polis turut merampas sebuah lori yang disyaki dicuri serta digunakan semasa tangkapan dilakukan.

“Susulan tangkapan tersebut, polis menahan lima lelaki warga tempatan di beberapa buah rumah sewa di Bedong, Kedah bermula pukul 2 petang pada 7 April lalu.

“Kemudian pada 8 April kira-kira pukul 12 tengah hari, dua lelaki warga tempatan pula ditahan di Kuala Ketil, Kedah menjadikan keseluruhan individu yang ditahan sembilan orang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Fisol, kumpulan tersebut yang kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau disyaki aktif menjalankan kegiatan curi kenderaan sejak awal tahun ini.

“Modus operandi kumpulan ini adalah mencuri kenderaan lama dengan cara menggunakan peralatan master key.

“Kenderaan curi ini diberi kepada ahli kumpulan yang bekerja sebagai mekanik untuk dileraikan serta dicanaikan nombor casis,” katanya.

Fisol berkata, ujian air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan polis percaya mereka mencuri kenderaan lama untuk dijadikan alat ganti kenderaan.

“Dalam operasi ini, polis merampas dua pistol tiruan di salah sebuah rumah sewa yang didiami suspek di Bedong, tujuh unit telefon bimbit, enam rangkai kunci pelbagai jenis kenderaan dan satu pasang gari,” katanya.

Dalam pada itu Fisol berkata, menerusi penahanan kesemua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan 18 kes curi kenderaan lama yang mana 13 kes berlaku di sekitar Pulau Pinang dan lima kes di Perak dan Kedah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan motor dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun dan dikenakan denda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN