JOHOR BAHRU: Pengurusan Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn di sini menyambut baik penganjuran program Kongsi Berkat Bubuk Lambuk anjuran Era Foods MY (Beras Era) dan Media Mulia Sdn. Bhd., kelmarin.
Imam Masjid Sultan Iskandar, Abdullah Embong berkata, program seperti itu cukup signifikan diadakan pada Ramadan dalam usaha mendapatkan keberkatan Allah SWT.
Beliau berkata, program memasak bubur lambuk itu diadakan bermula seawal pukul 8 pagi melibatkan 10 wakil dari Beras Era dan 15 ahli Hal Ehwal Wanita (Helwa) Masjid Sultan Iskandar.
Katanya, sekitar pukul 12 tengah hari, bubur lambuk berkenaan sudah siap dimasak dan dibungkus untuk diagihkan kepada orang ramai dan penduduk setempat.
“Program Kongsi Berkat Bubuk Lambuk ini adalah program yang baik dengan bersedekah memberi makanan kepada umat Islam untuk berbuka puasa. Mudah-mudahan mendapat pahala dan keberkatan Allah.
“Ini adalah pertama kali ia diadakan antara Masjid Sultan Iskandar dengan Beras Era dan Media Mulia, harapnya ia akan dapat diteruskan lagi di masa akan datang,” katanya ketika ditemui.
Abdullah berkata, sejumlah 1,000 bungkusan bubur lambuk itu diedarkan di Bazar Tebing Bandar Dato Onn dan di pekarangan Masjid Sultan Iskandar.
Katanya, dalam masa sama ahli-ahli Helwa juga mengedarkan bungkusan bubur lambuk itu dari rumah ke rumah di kawasan perumahan Desa Mutiara, di sini.
“Program ini wajar dijadikan acara tahunan setiap kali tiba bulan Ramadan dengan penambahbaikan diselitkan program lain selain mengedar bubur lambuk.
“Secara keseluruhannya, program ini disambut baik kerana memberi manfaat kepada pelbagai pihak di sekitar kawasan ini,” katanya. – UTUSAN