Scammer: ‘YDP MPK’ minta pinjam wang

Scammer: ‘YDP MPK’ minta pinjam wang

NORFIZA Mahfiz menunjukkan laporan polis yang dibuatnya bersama Low Kwee Sia di IPD Klang Selatan, Klang, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Gambar profil Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Noraini Roslan tidak terlepas daripada digunakan sindiket scammer yang menyamar sebagai beliau untuk mendapatkan wang.

Bagaimanapun, kejadian tersebut disedari Noraini sendiri apabila menerima panggilan telefon termasuk daripada Ahli Majlis MPK yang mendapat mesej daripada scammer berkenaan untuk meminjam wang.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, modus operandi sindiket berkenaan adalah meminta kenalan Noraini untuk memasukkan duit ke dalam akaun bank atas nama Collection Enterprise.

“Berdasarkan maklumat daripada rakannya, sekiranya mereka bersetuju meminjamkan wang kepada beliau, penyamar terbabit meminta wang tersebut dimasukkan ke dalam akaun bank tersebut.

“Kemudian mereka terus membuat panggilan kepada Noraini sama ada beliau benar mahu meminjam wang daripada mereka atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau kemudian membuat laporan polis bersama Ahli Majlis MPK, Low Kwee Sia di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pagi tadi untuk mengelak daripada orang lain menjadi mangsa scammer yang menyamar sebagai dirinya.

Tambah Norfiza, pihaknya menyeru sesiapa yang menerima mesej daripada individu yang menyamar sebagai dirinya untuk meminjam wang supaya membuat laporan polis dengan segera.

“Sehubungan itu, MPK ingin memaklumkan bahawa Noraini tidak pernah meminta untuk meminjam daripada mana-mana pihak.

“Kami minta orang ramai berhati-hati dan membuat laporan polis sekiranya scammer tersebut mahu meminjam wang daripada anda,” tegasnya.

Terdahulu, Presiden Parti Bumiputera Perkasa (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali juga dilaporkan gambar porfilnya pernah digunakan oleh sindiket scammer yang menggunakan modus operandi sama untuk mendapatkan wang daripada individu yang mengenalinya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN