'Saya akan didik orang ramai menerusi kartun,' - Maro - Utusan Malaysia

‘Saya akan didik orang ramai menerusi kartun,’ – Maro

MARO menunjukkan plak Anugerah Tokoh Kartunis 2022 yang diterimanya sempena Hari Kartunis Negara 2022 di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kartunis Media Mulia, Maro atau nama penuhnya, Norkamaro Mohd. Noor, 49, menyifatkan penerimaan Anugerah Kartunis Negara 2022 sebagai satu sejarah dalam kehidupannya setelah bergiat selama 28 tahun sebagai kartunis.

Beliau berkata, anugerah tersebut juga mewakili rakan kartunis seluruh tanah air yang meletakkan bidang itu sebagai inspirasi membina sahsiah, pembangunan selain sumber rezeki dalam kalangan mereka.

“Sebelum ini saya pernah menerima anugerah, tetapi hanya cuma berbentuk peribadi yang dianggap kecil berbanding anugerah hari ini cukup bermakna dalam kerjaya kartunis saya.

“Anugerah ini merupakan perangsang karier sebagai kartunis untuk melahirkan idea baharu yang dapat memberi inspirasi kepada masyarakat menerusi pelbagai bidang,” katanya selepas majlis penyampaian Anugerah Tokoh Kartunis 2022 di Galeri Azza di bandar lama Jerantut di sini hari ini.

Anugerah sempena Hari Kartunis Negara itu disempurnakan oleh Datuk Rozilan Salleh yang juga wakil Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada majlis tersebut, Rozilan turut merasmikan Galeri Aza Jerantut dan menyampaikan plak penghargaan kepada para kartunis seluruh negara.

Selanjutnya Maro menambah, Utusan Malaysia merupakan institusi yang mula mengembangkan kerjayanya serta meletakkan beliau sebaris dengan kartunis terkenal lain di tanah air.

“Saya diberi kepercayaan oleh Utusan Malaysia untuk menghasilkan kartun menerusi ruangan kolum Mamak Cyber dan Malaysia Kita selama 28 tahun sejak mula melukis pada 1995.

“Saya akan meneruskan hasil karya kartun yang bercorak pendidikan dan motivasi kepada pelbagai lapisan masyarakat berasaskan beberapa bidang yang mencetuskan pemikiran yang positif,” katanya.

Beliau berkata, dalam perjalanannya sebagai kartunis, beliau pernah ditegur oleh beberapa pihak kerana menimbulkan sindiran yang tajam tentang politik, tetapi akhirnya pihak berkenaan memahami perkara yang sebenar.

“Saya akan terus berkarya selagi mampu kerana bidang ini sangat diminati sejak di peringkat sekolah lagi dan berterima kasih kepada Utusan Malaysia memberi kepercayaan melukis kartun di akhbar berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN