Sarawak optimis terima 1.2 juta pelawat tahun ini

Sarawak optimis terima 1.2 juta pelawat tahun ini

SEBASTIAN Ting (duduk tengah) pada mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Pelancongan Sarawak (STCC) hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sarawak optimis menerima 1.2 juta pengunjung dan menjana pendapatan sebanyak RM3.2 billion hasil kedatangan pelancong ke negeri ini pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting berkata, walaupun kehadiran pelancongan antarabangsa akan bangkit semula secara perlahan-lahan, namun pelancongan domestik akan terus memacu pemulihan industri pelancongan negeri ini.

Ting berkata, bagi mengurangkan impak Covid-19, kerajaan negeri Sarawak telah melaksanakan lapan pakej bantuan kepada rakyat, iaitu BKSS 1.0 hingga BKSS 8.0 dengan 30 langkah membabitkan perbelanjaan RM5.58 billion.

Kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) telah menghasilkan siri geran padanan pada 2022 yang merangkumi Geran Sepadan Sektor Pelancongan (GSSK), Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK), Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan Inap Desa, Geran Padanan bagi Tujuan Pembaikan Kepada Hotel Budget.

“Kementerian kita telah memulakan sesi taklimat mengenai pelbagai jenis geran padanan yang ditawarkan oleh MOTAC kepada pemain industri pelancongan, seni dan budaya pada 22 Mac 2022.

“Saya menggesa persatuan untuk memberi taklimat dan menggalakkan ahli anda yang layak memohon secepat mungkin,” katanya pada mesyuarat Jawatankuasa Penyelaras Pelancongan Sarawak (STCC) di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai persediaan untuk beralih daripada fasa pandemik kepada fasa endemik COVID-19, Kementerian Pelancongan Sarawak dan agensi-agensinya akan meneruskan usaha untuk melaksanakan langkah-langkah jangka pendek bagi pemulihan industri pelancongan, seni dan budaya.

Katanya, kementerian melalui Lembaga Pelancongan Sarawak telah melancarkan Program Sia Sitok Plus dengan kerjasama Malaysia Airlines pada 19 Jan lalu untuk menggalakkan perjalanan ke Sarawak.

Di samping itu, kata beliau pihak kementerian telah melancarkan kempen pelancongan domestik diskaun popular melalui Kempen Sia Sitok v.3.0 dan kempen staycation Sia Sitok Accommodation 2.0 pada 1 Mac lalu.

“Kedua-dua kempen dengan subsidi RM2 juta daripada Lembaga Pelancongan Sarawak telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pasaran domestik dan telah habis dijual sebelum tarikh tamatnya pada 30 April 2022,” katanya.

Dalam pada itu, katanya pihak Lembaga Pelancongan Sarawak yang baru sahaja menamatkan penyertaan dalam MATTA FAIR 2022 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu telah dipilih sebagai Destinasi Pilihan Pameran.

Semasa pameran itu Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bersama 20 rakan industrinya mempamerkan budaya menarik, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival (CANFF) Sarawak.

Selain itu, kata Ting insentif telah diperkenalkan untuk menggalakkan acara perniagaan tempatan, pembinaan kapasiti berterusan, menghadiri pasaran maya atau pasar pelancongan untuk persediaan menyambut kedatangan pelancong.

Beliau menambah kementerian dan agensinya akan mengaktifkan semula acara dan perayaan apabila sempadan dibuka semula.

“Pada 24 hingga 27 Feb lalu buat pertama kalinya Citrawarna tahunan diadakan di Sarawak, iaitu di Kuching Waterfront.

“Sambutan seni dan budaya negara itu membawa ribuan pengunjung ke Kuching dan ia merupakan satu kejayaan besar di bawah pengawasan SOP (prosidur operasi standar) yang diperlukan,” ujar Ting.

Beliau berkata antara acara ikonik yang popular akan datang yang telah disahkan ialah Spartan Race (11-12 Jun 2022), Rainforest World Music Festival (17-19 Jun 2022) dan Borneo Jazz Festival (24-27 Jun 2022).

Dalam pada itu, katanya acara perniagaan dan acara seni, budaya dan warisan secara beransur-ansur diaktifkan semula apabila SOP dilonggarkan lagi.

Ini telah menggalakkan pemain industri setelah sekian lama menghentikan perniagaan dan aktiviti mereka.

Sarawak telah membuka sempadannya kepada pelawat antarabangsa berkuat kuasa 1 April lalu  selaras dengan garis panduan persekutuan.

Dengan pembukaan semula sempadan negeri, beliau berkata penerbangan antarabangsa pertama dari Singapura telah mendarat di Kuching pada 3 April lalu dengan membawa seramai 157 penumpang yang diberi sambutan mesra oleh kementerian dan STB.

Pada masa ini, katanya ada tiga penerbangan seminggu dari Singapura ke Kuching dan dua penerbangan seminggu dari Singapura ke Miri melalui Scoot Airlines sambil berharap untuk menyambung semula penerbangan antarabangsa dari Pontianak dan Brunei tidak lama lagi.

Katanya, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RBA) akan menyambung semula penerbangan Brunei Darussalam-Kuching dua kali seminggu bermula 1 Mei depan..- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya