PUTRAJAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perlis, Amar Abd. Jalil memohon maaf kepada Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff kerana memfitnah.
Dalam kenyataannya hari ini, Amar yang juga Ketua AMK Cabang Padang Besar mengakui telah mengeluarkan dua kenyataan tidak benar di laman Facebook AMK Cabang Padang Besar yang diketuainya termasuk di laman Facebook peribadinya bernama Amar Abd. Jalil pada 28 April 2021.
Kenyataan pertama adalah berhubung hasrat AMK Cabang Padang Besar untuk membuat satu laporan polis terhadap Kamarul Zaman yang didakwa membuat satu hantaran Facebook yang menghina Raja Muda Perlis selain menjemput para pengamal media membuat liputan media ke atasnya.
Kenyataan kedua pula merupakan sidang media laporan polis terhadap Kamarul Zaman oleh AMK Cabang Padang Besar yang mana Amar mendesak pihak polis menyiasat Dr Kamarul di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988.
Mengakui bahawa dua kenyataan tersebut adalah tidak benar, Amar hari ini menarik balik kesemua kenyataan tersebut serta berjanji tidak akan menerbitkannya kembali atau menerbitkan apa-apa kenyataan yang seumpama dengannya di masa hadapan.
Beliau juga menarik balik laporan polis beliau ke atas Kamarul di Ibu pejabat Polis (IPD) Kangar pada 28 April 2021.
Selanjutnya, beliau menyebut amat kesal atas keterlanjuran menerbitkan dua kenyataan palsu tersebut dan dengan rendah diri dan suci hati tanpa sebarang paksaan memohon maaf kepada Kamarul kerana menyebabkan beliau mengalami kecederaan serius sama ada dalam kapasiti peribadi atau profesional beliau.
Beliau juga menegaskan bahawa Kamarul sebenarnya tidak pernah membuat apa-apa hantaran Facebook yang menghina Raja Muda Perlis, tidak pernah melakukan apa-apa jenayah yang menyebabkan ketegangan dan kebencian atau menyebabkan keharmonian dan perpaduan terjejas bersandarkan agama.
Ini termasuk tidak pernah melakukan jenayah fitnah serta tidak pernah menulis komen atau komunikasi yang palsu dan menyinggung perasaan orang ramai di internet.
Kamarul sebelum ini mendapat perhatian umum kerana menyaman fitnah beberapa pihak lain yang mendakwa beliau membuat satu hantaran Facebook yang mempertikaikan gambar Raja Muda Perlis dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, berbasikal.
Antara mereka yang sedang disaman fitnah beliau kerana membuat fitnah menyentuh kedudukan Raja Muda Perlis itu ialah Naib Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff; Ketua Amanah Ledang, Johor, Azhar Ismail dan bekas Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Nur Liyana Ahmad Marzuki.
Selain itu ialah bekas Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A. Kadir Jasin dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.
Selain itu, beliau juga dikenali kerana menyaman lapan Ahli Parlimen DAP, iaitu Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Teresa Kok, Chong Chieng Jen, Lim Lip Eng, Wong Kah Woh, Hannah Yeoh, dan Steven Sim, selain dua Ahli Parlimen Amanah iaitu Khalid Abdul Samad dan Mohamed Hanipa Maidin, atas beberapa isu yang berbangkit.
Media sebelum ini melaporkan Kamarul menerima banyak permohonan maaf daripada pemimpin politik yang beliau saman kerana memfitnah, termasuk lima pemimpin Amanah, iaitu peguam Wan Anwar Wan Ibrahim, peguam Mohd. Fitri Asmuni, Jamzuri Ardani, Ahmad Zhafri Md. Noor dan Kamal Koh Abdullah. – UTUSAN










