ALOR SETAR: Syarikat Air Darul Aman (SADA) menyediakan pelan kontingensi menangani masalah gangguan bekalan air menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini bermula 29 April hingga 6 Mei ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, antara penambahbaikan yang dibuat dalam pelan kontingensi itu adalah penyediaan pusat khidmat setempat (PKS) di 12 lokasi dikenal pasti berpotensi mengalami masalah gangguan bekalan air.
Menerusi PKS tersebut, katanya, pengguna dapat menyalurkan aduan atau sebarang masalah yang timbul secara terus tanpa perlu menghubungi talian hotline atau bilik gerakan SADA.
“Penggunaan air dijangka meningkat melebihi 30 peratus iaitu mencecah 1,000 liter air sehari (mld) berbanding 780 mld pada hari biasa apabila lebih lima juta orang dijangka masuk ke Kedah sempena Syawal nanti.
“Justeru pembukaan PKS ini adalah antara langkah yang diambil bagi menangani isu tersebut. Sebuah lori tangki dan tangki statik akan ditempatkan di setiap PKS bagi menyelesaikan aduan penduduk setempat, sesegera mungkin,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.
Beliau menambah, kesemua PKS tersebut beroperasi antara 2 hingga 4 Mei bermula 8 pagi hingga 5 petang.
Jelasnya, antara 12 lokasi PKS tersebut adalah di Masjid Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Kedah; Masjid Pulau Tengah di Pokok Asam, Pendang; Medan Selera Pekan Kodiang, Dewan Nelayan di Tanjung Dawai dan Depot SADA di Semeling.
Selain itu, katanya, PKS tersebut juga dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Becah Sawa di Baling; Surau Kampung Tok Aris di Jeneri, Sik; Pasar Awam Ayer Hangat di Langkawi serta Loji Rawatan Air (LRA) Gurun.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi memberitahu, seramai 1,500 pekerja SADA dibekukan cuti pada sambutan Aidilfitri pada tahun ini bagi memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan kepada rakyat dalam menangani isu tersebut.
“Dalam masa sama, kita minta air ini digunakan secara berhemah. Loji kita pada masa ini ada yang bekerja pada tahap 120 peratus kerana pam kita sudah terlalu lama.
“Infrastruktur kita yang uzur sedang diperbaiki dengan lima Loji Rawatan Air (LRA) baharu sedang dibina dan kita juga hendak laksanakan skim bagi mengatasi masalah air tidak terhasil (NRW). Selagi dua projek ini tidak dilaksanakan, masalah air akan berlarutan,” katanya. – UTUSAN