JEMPOL: Gerai menjual martabak antara yang menjadi tumpuan di bazar Ramadan malah ramai yang sanggup beratur panjang untuk membelinya.
Begitu juga dengan martabak Ahzam Zainal, 34, yang mewarisi perniagaan tersebut daripada bapanya.
Jelasnya, martabak yang popular dengan nama Murtabak Zainal itu diusahakan sejak 26 tahun yang lalu dan cukup dikenali pelanggan di sekitar daerah ini.
“Walaupun kami berniaga seperti biasa di pasar malam, apabila kami masuk berniaga di bazar Ramadan, pelanggan datang lebih ramai daripada hari biasa.
“Mungkin aura ketika bulan puasa berbeza dengan hari-hari biasa sehinggakan setiap hari martabak saya habis dijual sebanyak 800 keping,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan Bandar Seri Jempol, dekat sini, semalam.
Ahzam menambah, sambutan orang ramai terhadap martabak jualannya pada tahun ini sangat menggalakkan terutama jika dibandingkan dengan suasana bulan puasa dua tahun sebelum ini.
“Keadaan kali ini berbeza dengan dua tahun kebelakangan ini iaitu sewakti wabak Covid-19 melanda. Pelanggan tidak begitu ramai mungkin disebabkan faktor adanya sekatan pergerakan oleh kerajaan.
“Bagaimanapun tahun ini, sangat menggalakkan dan saya sendiri terkejut apabila ada pelanggan yang datang dari Seremban dan Kuala Lumpur semata-mata untuk merasai martabak jualan saya,” katanya. – UTUSAN