Rasuah projek lebih RM2.3 bilion: Eksekutif GLC antara ditahan - Utusan Malaysia

Rasuah projek lebih RM2.3 bilion: Eksekutif GLC antara ditahan

SERAMAI enam individu ditahan SPRM berhubung siasatan kes projek GLC di Mahkamah Majistret Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah melibatkan projek milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai lebih RM2.3 bilion.

Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada jawatan ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, pegawai eksekutif, pengarah dan pemilik syarikat terbabit dipercayai terlibat dalam perlakuan rasuah.

Ini melibatkan projek-projek milik sebuah GLC dengan anggaran nilai kontrak keseluruhan melebihi RM2.3 bilion antara 2017 hingga 2021.

Permohonan reman terhadap kesemua suspek berusia antara 35 hingga 45 tahun tersebut masing-masing dibuat di Mahkamah Majistret Putrajaya dan Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak.

Di Putrajaya, permohonan reman selama empat hari terhadap dua individu dan lima hari terhadap empat individu dibenarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret Kuching, Sarawak, permohonan reman selama lima hari dan dua hari terhadap dua individu dibenarkan oleh Majistret Zubaidah Sharkawi.

Katanya, kesemuanya ditahan di Ibu pejabat SPRM dan SPRM Sarawak antara 1.30 petang semalam hingga 12.30 tengah malam tadi ketika hadir memberi keterangan.

Tambahnya, susulan daripada penahanan tersebut, beberapa sitaan dilakukan antaranya melibatkan 10 buah kenderaan mewah pelbagai jenama, pelbagai mata wang tunai melebihi RM27,000, lebih 50 barang kemas pelbagai jenis termasuk gold bar.

Turut disita ialah 15 jam tangan mewah pelbagai jenama, 13 beg tangan mewah pelbagai jenama serta membekukan 12 akaun syarikat dan individu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN