KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan terus menjadi pilihan raya yang tidak bersih, sama seperti PRU-PRU sebelum ini selagi akta pendanaan politik tidak digubal dan dikuatkuasakan.
Kerajaan mempunyai tempoh selama tiga bulan sehingga Julai ini iaitu sebelum memorandum persefahaman dengan pembangkang tamat untuk menggubal, membentang, melulus dan menguatkuasakan akta itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, negara akan terus menyaksikan isu rasuah dan ‘jual beli’ wakil rakyat berlaku kerana SPR tiada akta khusus untuk bertindak.
“Setiap kali PRU, SPR akan cuba memastikan PRU yang berlangsung bersih, sama rata tetapi kerana ada perkara yang kurang terutama tiada akta yang khusus mengenai dana politik menyebabkan ia di luar kuasa SPR.
“Kalau ada akta penting ini, maka proses pilihan raya kita akan lebih murni dan bermaruah serta diyakini oleh rakyat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan cadangan menggubal Akta Pendanaan Politik terus ‘terperap’ walaupun hasrat tersebut dibangkitkan sejak tahun 2015.
Gagal
Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar dilaporkan berkata, kegagalan untuk merealisasi akta tersebut sehingga kini berpunca daripada sikap ahli politik yang lebih mementingkan diri kerana melihat undang-undang itu akan menjerat tengkuk mereka ketika meraih sumbangan dana politik.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad memberitahu, dokumen akta pendanaan politik sudah dilengkapkan sejak 2015 oleh Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik ketika zaman pemerintahan Barisan Nasional.
“Oleh kerana banyak perkara dijanjikan kerajaan BN pada 2015, sebuah jawatankuasa ditubuhkan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Paul Low Seng Kuan.
“Ketika itu, saya salah seorang dalam pasukan kerja di situ sebagai jawatankuasa teknikal, dan sejak itu, kerajaan BN berjanji untuk mewujudkan pendanaan politik. Malah, saya difahamkan dokumen itu telah siap pada zaman BN itu lagi,” kata beliau.
Bagaimanapun, menurut beliau, selepas BN kalah pada PRU14, semua usaha menggubal akta pendanaan politik terbantut sehingga kini.
“Zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah, Tun Mahathir Mohamad turut membuat salah satu janji kepada rakyat iaitu PH mahu mengadakan reformasi pilihan raya yang lebih menyeluruh termasuk melaksanakan akta pendanaan politik.
Tetapi, mereka sibuk dengan masalah dalaman dan mereka tidak bergerak sangat untuk teruskan walaupun janji dalam manifesto itu jelas,” kata beliau.
Janji politik
Seterusnya, di bawah Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin pula, Wan Ahmad berkata, kesinambungan janji politik kerajaan sebelum ini sepatutnya diteruskan namun kerajaan ketika itu sibuk dengan masalah Covid-19, masalah politik dan kerenah kerajaan pintu belakang.
“Perkara-perkara tersebut akhirnya menyebabkan PN tidak dapat bergerak banyak untuk melakukan reformasi pilihan raya walhal dokumen asal memang ada dan sudah siap,” jelas beliau.
Oleh itu, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang memimpin kerajaan Keluarga Malaysia kini harus segera memastikan akta pendanaan politik berjaya dikuatkuasakan.
Menurut beliau, penggubalan akta pendanaan politik dan akta anti lompat parti adalah langkah terbaik bagi menjamin kestabilan politik di negara ini.
“Dua akta ini juga akan menentukan kestabilan politik dan kesamarataan di negara kita. Ini antara punca mengapa berlaku ketirisan, integriti politik tercemar.
“Ini kerana jika akta pendanaan politik tiada, peluang mana-mana pihak menyalahgunakan kedudukan kerajaan, sumber kewangan besar dari segala sumbangan pihak-pihak luar yang tidak diisytiharkan, tidak tahu puncanya, maka ini bukan sahaja memberi ketidaksamaan dalam politik, malah rasuah dan penyelewengan akan berlaku secara terbuka.
“Kalau Perdana Menteri membuat perkiraan untuk beliau memikirkan pembubaran Parlimen selepas Julai ini, maka dalam tempoh tiga bulan ini, banyak perkara yang menjurus kepada reformasi pilihan raya dan politik ini perlu dibuat supaya kita dapat berhadapan dengan PRU15 yang lebih baik,” katanya lagi.- UTUSAN










