PETALING JAYA: Rundingan antara Malaysia dan Perancis berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) perlu dilakukan supaya dapat mengenal pasti masalah yang wujud seterusnya memastikan projek itu dapat dijayakan mengikut masa ditetapkan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan bekata, bagi mengelakkan projek tersebut tergendala sekali lagi, pihak pembeli dan pembuat perlu berunding agar mencapai kata sepakat.
Katanya, lebih lambat negara memperoleh kapal tempur tersebut boleh merencatkan sistem pertahanan kerana ia penting untuk keselamatan persisiran khususnya di laluan selat Melaka.
“Kemungkinan besar punca utama menyebabkan LCS tergendala adalah berhubung sepsifikasi dan harga projek berkenaan. Untuk mengelak kelewatan sama terjadi lagi, kedua-dua pihak perlu berunding untuk mengetahui masalah berkait dengan projek tersebut.
“Bagaimanapun saya berpendapat badan pemantau atau pihak ketiga tidak diperlukan dalam projek ini kerana secara teknikalnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lebih tahu akan apa yang mereka kehendaki,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Duta Perancis ke Malaysia, Roland Galharague memaklumkan, Perancis akan memberi komitmen untuk meneruskan projek LCS yang mengalami kelewatan 39.52 peratus atau 43 bulan.
Malah, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien turut menyatakan hasrat sama iaitu bagi meminta bantuan menyelesaikannya.
Azmi berkata, kegagalan memastikan LCS siap mengikut masa ditetapkan akan merencatkan keselamatan negara di bahagian pesisir pantai sedangkan negara mempunyai banyak kawasan seperti itu.
“Kalau lihat di bahagian timur Sabah, di Laut Sulu kita mempunyai banyak ancaman dan ketiadaan kapal tersebut mengakibatkan sistem pertahanan negara kelihatan agak longgar dan terdedah kepada bahaya.
“Untuk memperkuat sistem pertahanan negara, kita perlukan projek tersebut dikendali dengan baik. Ia juga dapat memberi keuntungan negara-negara pesisir seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina” ujarnya. – UTUSAN