Polis tahan sembilan ejen jual kad ATM

Polis tahan sembilan ejen jual kad ATM

ANTARA telefon bimbit dan kad ATM yang dirampas polis semasa serbuan di sekitar Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis menahan sembilan individu termasuk seorang wanita yang disyaki terlibat dalam penjualan kad ATM (mule akaun) menerusi dua serbuan yang dijalankan di sekitar Kampung Melayu Majidee di sini, semalam dan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek yang ditahan berperanan sebagai ejen penjualan kad tersebut dan berusia antara 32 hingga 40 tahun.

“Mereka mendapat bayaran RM600 untuk penjualan setiap kad ATM yang diperolehi di mana kad berkenaan akan dijual semula kepada sindiket ‘money game’ atau pelaburan atas talian dengan harga kira-kira RM1,600 hingga RM1,900 bagi setiap kad.

“Siasatan mendapati tujuh daripada sembilan suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya di sini hari ini.

Tambah Raub, menerusi serbuan tersebut, pihaknya berjaya merampas 19 keping kad ATM dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.

“Kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula semalam, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda.

“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak menyerahkan kad ATM kepada individu tidak dikenali.

“Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang individu menyerahkan kad ATM atas urusan penjualan dan juga untuk kegiatan jenayah kepada pihak lain,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN