KEMAMAN: Dua lelaki ditahan selepas dipercayai memecah masuk dan mencuri pelbagai alat ganti motosikal di sebuah premis di Binjai di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek yang berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan secara berasingan dari pukul 12.20 tengah malam hingga 1.40 pagi.
Katanya, tangkapan dibuat kurang daripada 24 jam selepas laporan polis dibuat pemiliknya berhubung kehilangan pelbagai alat ganti motosikal yang bernilai RM8,000.
“Polis percaya sebahagian alatan berkenaan dipasang pada motosikal milik suspek selain turut dijual kepada rakan mereka yang sudah dikenal pasti.
“Kita minta mereka menyerah diri dengan membawa semula peralatan yang dibeli daripada suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman semalam.
Menurut Hanyan, siasatan mendapati seorang suspek mempunyai kunci pendua kedai itu kerana premis berkenaan pernah disewa majikan lamanya.
Katanya, kedua-kedua mereka direman selama empat hari hingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN










