Polis rampas syabu, pil kuda dan ubat batuk RM4.6 juta

Polis rampas syabu, pil kuda dan ubat batuk RM4.6 juta

AYOB Khan Mydin Pitchay (tengah) menunjukkan syabu seberat 101.5 kilogram yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. - FOTO/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Satu sindiket pengedaran dadah tumpas selepas polis menahan tujuh suspek serta merampas 101.5 kilogram syabu, 19 kilogram pil kuda dan empat liter ubat batuk bernilai RM4.6 juta dalam serbuan berasingan di tiga daerah, Jumaat lalu.

Tujuh suspek terbabit, termasuk pasangan suami isteri berusia lingkungan 25 hingga 46 tahun ditahan enam lokasi di Pengkalan Chepa, Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor bermula pukul 8.15 malam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata, pihaknya turut menyita 11 kenderaan dianggarkan bernilai RM460,155, pelbagai barang kemas bernilai RM53,143, jam tangan bernilai RM10,200 dan wang tunai RM5,000.

Katanya, keseluruhan nilai dadah terkumpul yang dirampas di enam lokasi itu bersama harta sitaan dianggarkan berjumlah lebih RM5 juta.

“Jumlah dadah yang dirampas ini kita anggarkan boleh digunakan oleh seramai 602,540 penagih di negeri ini. Kesemua suspek penduduk tempatan yang bekerja sebagai pemandu bot, juruteknik pendingin hawa, pendandan rambut serta penganggur.

“Mereka dipercayai aktif mengedar syabu, pil Yaba dan ubat batuk diseludup masuk melalui pangkalan haram untuk pasaran tempatan sejak Disember lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat.

Menurut Ayob Khan lagi, hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkait dengan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala ujian saringan air kencing ke atas mereka bertujuh adalah negatif.

“Ketujuh-tujuh suspek kini direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN