Polis lepas tembakan ke udara, tayar kenderaan bawa PATI - Utusan Malaysia

Polis lepas tembakan ke udara, tayar kenderaan bawa PATI

TANGKAP layar rakaman video menunjukkan anggota polis melepaskan tembakan amaran ke udara selepas sebuah SUV memecut melarikan diri dalam sekatan jalan di LPT1 berhampiran Plaza Tol Gambang di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke udara sebelum menembak tayar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang melanggar sekatan jalan raya sehingga hampir merempuh anggota polis dalam Op Samseng Jalan di Lebuh Raya Pantai Timur (LPT1) berhampiran Plaza Tol Gambang di sini semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamad Yoosuf berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail yang mencurigakan telah memecut laju cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya.

“Anggota polis melepaskan tembakan amaran ke udara namun tidak diendahkan dan kenderaan itu dikejar sejauh satu kilometer dan tembakan ke arah tayar hadapan kiri dan kanan kenderaan berkenaan dilepaskan.

“Setelah sampai ke Kilometer 201 LPT 1, pemandunya memberhentikan kenderaan itu akibat tayar pancit dan cuba melarikan diri ke dalam semak berhampiran namun berjaya ditangkap oleh anggota polis,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ramli, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kes itu dan suspek yang berusia 33 tahun dan anak saudaranya berusia 17 tahun serta kesemua 12 pendatang asing warga Myanmar berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan awal mendapati pergerakan kenderaan berkenaan adalah dari Thailand ke Kelantan sebelum ke Petaling Jaya, Selangor.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen, Seksyen 186 Kanun Keseksaan adn Seksyen 26J ATIP,” jelasnya.

Sementara itu beliau berkata, dalam operasi Op Samseng Jalanan berkenaan, polis telah menahan tiga penunggang motosikal di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan menyita 14 buah motosikal.

Katanya, sebanyak 138 saman pelbagai kesalahan turut dikeluarkan dan 80 buah motosikal diperiksa dalam operasi sehari berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya