Polis Kedah tubuh pasukan khas siasat etnik Rohingya lolos

Polis Kedah tubuh pasukan khas siasat etnik Rohingya lolos

WAN HASSAN WAN AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis Kedah menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian seramai 528 etnik Rohingya merusuh sebelum meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di sini awal pagi hari ini

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan melibatkan 13 anggotanya itu akan mengenal pasti punca kejadian dengan mengambil keterangan semua yang terlibat di depot tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 224 dan 147 Kanun Keseksaan ke atas semua terlibat termasuk pengawal dan tahanan di depot itu bagi mengenal pasti apa punca kejadian serta tindakan sewajarnya.

“Siasatan awal mendapati berlaku rusuhan dalam depot berkenaan dengan kesan umpil dan pecah di kawasan pintu utama serta pintu tahanan wanita,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)  Kedah, di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati seramai 528 daripada 664 tahanan depot tersebut berjaya lolos sebelum 357 tahanan berjaya ditangkap sementara 171 lagi masih bebas.

“Saki baki yang dikesan adalah seramai 131 lelaki dan 28 wanita serta 12 kanak-kanak lelaki. Tahanan ini menempatkan 664 warga Rohingya di mana 136 tidak melarikan diri termasuk seorang meninggal dunia,” katanya. 

Katanya, operasi mengesan saki baki tahanan yang berjaya meloloskan diri itu dilakukan melalui pasukan cantas dengan kerjasama polis Pulau Pinang, PGA, Rela dan agensi lain.

“Kita menggerakkan enam pasukan Cantas dari polis Pulau Pinang dan enam dari Kedah yang bergabung mengesan saki baki tahanan ini. Operasi ini berterusan sehingga semua tahanan ditangkap semula,” katanya.

Selain itu, polis melalui jabatan trafik akan turut mengadakan sekatan jalan raya dan rondaan bagi mengesan tahanan yang melarikan diri menggunakan jalan darat.

“Kita dapati kemungkinan ada tahanan yang akan menumpang kenderaan di jalan raya kelak dan nasihatkan orang ramai supaya waspada serta tidak melindungi mereka. Sekiranya ternampak kelibat mereka lapor segera kepada pihak polis.

 “Kemungkinan mereka (tahanan) beragama Islam serta berpuasa dan kelaparan. Kita takut berlaku jenayah lain. Rondaan daripada pihak terlibat juga akan melibatkan jalan di kampung-kampung berdekatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN