ISKANDAR PUTERI: Polis Johor meningkatkan penguatkuasaan tahap keselamatan pada waktu musim perayaan Aidilfitri ini khususnya selepas pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan aktiviti jenayah dalam tempoh berkenaan.
“Sehubungan itu pemilik kediaman diminta menyalurkan maklumat sekiranya mereka berhasrat untuk meninggalkan kediaman masing-masing. Pemilik kediaman boleh menggunakan dua kaedah untuk memaklumkan polis bahawa mereka akan meninggalkan kediaman, satunya melalui aplikasi dalam talian manakala satu lagi dengan mengisi borang di balai polis berhampiran.
“Nasihat saya, kaedah yang lebih baik adalah dengan mengunjungi balai berhampiran, kaedah ini secara tidak langsung boleh mengeratkan lagi hubungan penduduk dan polis untuk berkenalan antara satu sama lain,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri antara Senior Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar dan Asisten Komisioner Rahmat Ariffin di sini hari ini.
Sementara itu, Kamarul Zaman memaklumkan, keadaan kesesakan jalan raya di beberapa lokasi bandar raya ini masih dalam keadaan terkawal walaupun berlaku peningkatan jumlah kenderaan mendadak pada ketika ini.
“Kita akui berlaku kesesakan akibat pertambahan bilangan kenderaan memasuki Johor Bahru, sama ada kenderaan dari Singapura dan juga rakyat Malaysia yang sudah pulang ke negeri ini. Kami juga telah menugaskan pegawai dan anggota polis trafik agar memastikan kesesakan yang berlaku sentiasa terkawal. Di pusat beli-belah Angsana contohnya, struktur Jalan Sedim memang akan akibatkan kesesakan, apa yang boleh dilakukan adalah memastikannya terkawal.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk sentiasa berhemah dan bersabar, selain menyusun jadual perjalanan mereka untuk membuat pembelian kelengkapan perayaan atau sebarang urusan lain,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya turut membekukan cuti pegawai dan anggota dalam tempoh sambutan Aidilfitri ini di mana hanya sekitar 10 peratus daripada hampir 10,000 pegawai dan anggota dibenarkan bercuti manakala pegawai dan anggota trafik pula dibekukan terus cuti kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu. – UTUSAN










