Polis edar gambar tahanan Rohingya lolos

Polis edar gambar tahanan Rohingya lolos

WAN Hassan Wan Ahmad menyampaikan sumbangan raya kepada anggota PGA yang bertugas di sempadan Malaysia dan Thailand, Bukit Kayu Hitam, hari ini. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT KAYU HITAM: Polis akan mengedar gambar 61 tahanan etnik Rohingya yang masih bebas selepas meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu dekat sini pada 20 April lalu.

Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, langkah tersebut diambil bagi memudahkan agensi penguat kuasa mengesan dan  mengenal pasti setiap etnik Rohingya yang ditahan di seluruh negara.

Menurut beliau, gambar yang disertakan dengan nama tahanan itu juga diedar kepada orang ramai dan media.

“Semalam saya mengarahkan senarai nama bersama gambar tahanan Rohingya itu dapat disiapkan dalam tempoh segera.

“Kalau kita tidak edarkan gambar dan nama tahanan tersebut mungkin sukar pihak lain mengenali suspek berkenaan kerana nama etnik Rohingya boleh berubah-ubah, hari ini nama lain, esok pula tukar nama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian sumbangan raya kepada petugas Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia dan Thailand di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 20 April lalu, seramai 528 tahanan di depot tersebut merusuh dan meloloskan diri pada pukul 4.30 pagi.

Bagaimanapun, enam daripada mereka maut dalam kemalangan ketika cuba melintas laluan di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berdekatan Jawi, Pulau Pinang.

Setakat ini, seramai 467 tahanan ditahan semula pihak berkuasa di sekitar negeri ini dan Pulau Pinang.

Jumlah keseluruhan tahanan di depot tersebut semasa kejadian tersebut berlaku adalah seramai 664 orang.

Pada masa sama, polis mengenal pasti seramai empat suspek dipercayai merupakan dalang dalam kejadian tersebut dan dua daripada mereka ditahan sebelum ini.

Selain itu, Wan Hassan berkata, polis percaya baki tahanan terbabit masih berada di negara ini termasuk di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kita tengah usahakan (memburu menahan tahanan Rohingya) setakat mana yang boleh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN