PM ulangi rakyat bebas balik kampung sambut Aidilfitri - Utusan Malaysia

PM ulangi rakyat bebas balik kampung sambut Aidilfitri

ISMAIL SABRI Yaakob menyampaikan sumbangan sempena program Jelajah Semarak Ramadan di Masjid Al-Muttaqin di Kampung Mengkarak di Bera, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menyatakan orang ramai khususnya umat Islam boleh pulang beraya di kampung masing-masing pada Hari Raya Aidilfitri tanpa sebarang halangan dari kerajaan. 

Perdana Menteri berkata, setelah dua tahun terhalang ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19, kini tiada lagi halangan untuk orang ramai pulang berhari raya di kampung halaman. 

“Kali ini boleh balik, bebas dan jika ada pihak tertentu membangkitkan lagi persoalan betul ke tidak boleh balik (kampung), boleh balik tiada halangan. 

“Kebebasan ini telah pun kita berikan dan pada hari pertama Ramadan kali ini pun kita dapat lihat suasana di lebuh-lebuh raya dan jalan-jalan raya sesak teruk sebab orang ramai pulang ke kampung.

“Masing-masing mengambil kesempatan pulang sambut puasa pertama bersama keluarga di kampung setelah dua tahun tidak dapat berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Jelajah Semarak Ramadan di Masjid Al-Muttaqin di Kampung Mengkarak di sini hari ini. 

Dalam program itu, seramai 4,800 orang dari seluruh kawasan Parlimen Bera menerima sumbangan wang tunai. 

Ismail Sabri berkata, pada tahun ini, Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri di Seri Perdana, Putrajaya tidak akan diadakan pada hari pertama Aidilfitri seperti mana sebelum ini. 

“Ini kerana, kita hendak beri peluang kepada orang ramai beraya dengan keluarga dahulu pada hari raya pertama. Setelah beraya di kampung, Ahad iaitu pada 8 Mei baru kita buat rumah terbuka di Seri Perdana,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, walaupun diberikan kebebasan menyambut Aidilfitri, namun orang ramai diingatkan supaya mengamalkan kawalan kendiri. 

“Walaupun bermula 1 April lalu, kawalan kendiri tidak diwajibkan tetapi pelitup muka masih diwajibkan. Amalkan kawalan kendiri untuk menjaga keselamatan diri dan juga keluarga,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN