Peruntukan  RM150 juta kepada usahawan terkesan banjir - Utusan Malaysia

Peruntukan  RM150 juta kepada usahawan terkesan banjir

NOH Omar (kanan) mengiringi Ismail Sabri Yaakob (kiri) pada Majlis Pelancaran Pasaraya MG Coopmart dan Jualan Harga Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia serta Penyampaian Bantuan Banjir Keluarga Malaysia di Pasaraya MG Coopmart Cawangan Bera di Bera, Pahang. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERA: Kerajaan memperuntukkan RM150 juta bagi usahawan mikro dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang terkesan akibat banjir yang melanda negara pada Disember tahun lalu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, peruntukan dibahagikan kepada dua iaitu pertama kepada usawan IKS dengan peruntukan RM100 juta manakala kedua kepada kumpulan usahawan mikro dan juga kumpulan informal sebanyak RM50 juta.

“Bagi usahawan IKS mereka boleh memohon   pinjaman sehingga  RM100,000 menerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp.) manakala  usahawan mikro mereka boleh memohon menerusi Tekun atau Amanah Ikthtiar Malaysia (AIM),” kata beliau pada Majlis Pelancaran Pasaraya MG Coopmart-KopBera dan Jualan Harga Murah Semarak Ramadan Keluarga Malaysia serta Penyampaian Bantuan Banjir Keluarga Malaysia di MG Coopmart Cawangan Bera di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Selain itu, menurut beliau,  setiap usahawan yang terkesan dengan  banjir turut diberi  geran RM3,000  seperti yang ditawarkan kepada usahawan di Bera pada hari ini.

Noh memberitahu, sejak pengumuman tersebut, Tekun telah menerima  sebanyak 13,000 permohonan  dengan Pahang sahaja seramai 5,218 permohonan diluluskan membabitkan peruntukan  RM15 juta. 

“Di Bera sahaja, sebanyak 234 usahawan terlibat banjir menerima geran bernilai RM3,000 terbabit melibatkan jumlah RM702,000,” katanya.

Menyentuh mengenai Coopmart, Noh berkata, koperasi itu dilihat dapat menjadi tempat bergantung, sekiranya pengguna ingin memiliki harga barangan yang murah.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN