Penjual mercun dalam talian kena tangkap 

Penjual mercun dalam talian kena tangkap 

PELBAGAI jenis mercun yang dirampas daripada seorang lelaki di tepi jalan berdekatan Taman Teratai, Pekan Nanas, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Padah menjual mercun secara terbuka dalam talian, seorang lelaki ditahan di tepi jalan berdekatan Taman Bunga Teratai, Pekan Nanas di sini, kerana memiliki pelbagai jenis mercun di dalam kereta yang dipandunya.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, lelaki berusia 52 tahun itu ditahan pada pukul 9 malam tadi bersama beberapa jenis mercun dipercayai bagi kegunaan musim perayaan.

Katanya, polis menemukan sebanyak 17 kotak mercun disyaki dalam proses untuk diedarkan kepada pembeli yang menempahnya terlebih awal bertujuan untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Antara jenis mercun yang dirampas adalah Assorted Cake Celebration Repeater, Shot Cake dan Boom Thunder Clap yang memiliki pelbagai variasi tembakan. 

“Polis amat mengalu-alukan maklumat yang diberikan oleh orang awam berkaitan aktiviti penjualan secara dalam talian sehingga tertangkapnya suspek berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohammad Shofee, suspek akan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan penjara selama tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan penjualan mercun kerana ia merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis melalui talian Hotline 07-6868224 atau 07-6869999,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN