Peniaga rayu tangguh roboh gerai

Peniaga rayu tangguh roboh gerai

Peniaga yang merayu supaya operasi merobohkan gerai mereka ditangguhkan di Kampung Bahagia di Teluk Intan baru-baru ini. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seramai 40 peniaga tepi jalan di Kampung Bahagia di sini merayu Pejabat Tanah dan Daerah Hilir Perak menangguhkan dahulu arahan supaya peniaga mengosongkan kedai perniagaan yang mereka bina di tanah itu.

Seorang peniaga, Ramah Ramat, 59, berkata, peniaga di situ telah menerima notis supaya mengosongkan kawasan perniagaan itu baru-baru ini untuk kerja-kerja merobohkan gerai di situ.

Menurutnya, mereka mera­yu supaya diberikan tempoh sekurang-kurang sehingga habis Ramadan bagi membolehkan terus berniaga.

“Kami peniaga di sini memohon Pegawai Daerah Hilir Perak menangguhkan kerja meroboh kedai kami kerana kami mahu berniaga pada bulan Ramadan.

“Kami amat berharap supaya pihak berkenaan memberi tempoh untuk kami berpindah selepas Hari Raya kerana ketika ini kami berniaga menjual juadah berbuka puasa.

“Lagipun saya sudah 26 tahun berniaga, tidak ada apa-apa masalah pun. Saya telah ber­belanja besar untuk menjalankan perniagaan di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Peniaga juga mengadakan perhimpunan aman mendesak agar Pejabat Daerah Hilir Perak menangguhkan arahan mengosongkan kedai perniagaan di situ.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hilir Perak, Saidi Shaari berkata, pihaknya mengeluarkan notis supaya peniaga di situ mengosongkan tapak itu kerana ia dibina di atas tanah kerajaan.

Selain itu, pihaknya mendapati berlaku jual beli tapak perniagaan di situ sedangkan ia adalah tanah kerajaan.

Jelasnya, selain itu tapak perniagaan di situ tidak sesuai kerana ia menyebabkan kesesakan trafik.

“Kami menerima laporan ada golongan yang menjual tapak niaga kepada orang lain, mereka untung atas angin sedangkan ini tanah kerajaan.

“Namun atas rayuan peniaga, kami sedia mempertimbangkan kerja meroboh gerai akan dilakukan selepas Hari Raya kerana mereka menjalankan perniagaan semasa Ramadan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN