Peniaga P. Pinang dakwa ayam kurang - Utusan Malaysia

Peniaga P. Pinang dakwa ayam kurang

PENIAGA ayam di pasar awam di sekitar Georgetown terpaksa menutup operasi lebih awal selepas mendakwa kekurangan bekalan ayam yang diperoleh daripada pemborong dan pembekal ayam sejak Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Peniaga ayam di negeri ini mula resah apabila mendakwa bekalan ayam standard semakin berkurangan sehingga 50 peratus sejak Isnin lalu dan dijangka berlarutan menjelang Aidilfitri minggu depan.

Tinjauan Utusan Malaysia di pasar awam daerah Barat Daya dan Timur Laut di sini semalam mendapati, hampir sebahagian besar pengusaha premis menjual ayam terpaksa menutup operasi lebih awal sekitar pukul 9 hingga 10 pagi.

Rata-rata mereka dikatakan hanya menjalankan operasi perniagaan kurang tempoh tiga jam bermula pukul 6.30 pagi.

Ketika ini, ayam standard dijual RM8.90 sekilogram mengikut ketetapan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (HRP) 2022.

Difahamkan, pemborong atau pembekal ayam kini terpaksa mengehadkan separuh daripada tempahan bekalan ayam kepada peniaga setiap hari.

 

Kekurangan

Seorang peniaga ayam di Bayan Baru yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 46, berkata, isu kekurangan bekalan ayam standard menjadi semakin ketara minggu ini sehingga memberi kesan terhadap operasi dan keuntungan perniagaan mereka.

Menurutnya, dia hanya menerima setengah daripada jumlah tempahan bekalan ayam dan terpaksa meneruskan perniagaan meskipun dalam kuantiti yang sedikit.

“Isu sebegini boleh dikatakan pertama kali berlaku menjelang perayaan Aidilfitri dan menjadi semakin ketara sejak tiga hari lalu (Isnin) apabila tempahan kira-kira 200 ekor ayam sehari telah dikurangkan kepada 100 ekor.

“Memang perkara ini (isu kekurangan bekalan ayam) sudah dijangka berlaku sejak minggu lalu oleh pihak pemborong dan mereka ada memaklumkan kepada kami supaya bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Kami juga diberitahu yang jumlah bekalan ayam hidup di ladang kini semakin susut selain semuanya bersaiz kecil. Disebabkan perkara ini, pihak peladang tidak dapat membekalkan ayam hidup kepada pengilang dan pemborong buat seketika,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

 

Pembelian terus

Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, berikutan masalah tersebut dia kini memutuskan menjual ayam secara pembelian terus di kedai dan tiada lagi tempahan buat pelanggan sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini.

“Kami tidak dapat menjanjikan jumlah tempahan daripada pelanggan seperti tahun-tahun yang lalu. Kali ini, mereka (pelanggan) perlu datang terus ke kedai dan tiada lagi sebarang tempahan menerusi telefon atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga ayam yang mahu dikenali sebagai Azlina, 43, berkata, kerajaan seharusnya menyelesaikan masalah itu di peringkat peladang dalam kadar segera dan bukannya pihak peruncit.

“Ayam menjadi bekalan utama pengguna selain daging setiap kali tibanya perayaan. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana hanya berbaki kurang seminggu umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Masalah ini bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna malah peniaga juga terjejas dari segi keuntungan harian. Selain masalah bekalan, kami terpaksa berdepan dengan isu harga ayam, beg plastik dan kos bayar gaji pekerja,” ujarnya yang menambah, kira-kira 100 bekalan ayam standard yang diperolehnya habis dijual seawal pukul 8.30 pagi semalam.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN