Peniaga bazar Ramadan boleh dikompaun jika pakaian tidak sesuai

Peniaga bazar Ramadan boleh dikompaun jika pakaian tidak sesuai

PETUGAS kesihatan beramah mesra dengan peniaga selepas Majlis Pelancaran Kempen Budaya 3M Bazar Ramadan di Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan- UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Sebanyak 57 notis kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri kepada peniaga bazar Ramadan di seluruh Kelantan sepanjang minggu pertama umat Islam berpuasa sejak 3 April lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, jumlah notis kompaun dikeluarkan dalam tempoh itu hasil pemeriksaan ke atas 818 gerai melibatkan 1,692 pengendali makanan di bazar-bazar Ramadan.

Katanya, tidak mengikuti kursus pengendalian makanan anjuran Jabatan Kesihatan negeri dan gagal mendapatkan suntikan khusus untuk pengendali makanan menjadi antara kesalahan paling kerap dikesan.

“Selain itu, tidak mengenakan pakaian bersesuaian sebagai peniaga turut menjadi antara kesalahan yang dikesan oleh pihak kami hasil operasi penguatkuasaan di bazar Ramadan.

“Kesemua notis kompaun itu dikeluarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 melibatkan nilai sebanyak RM6,400,” katanya selepas melancarkan Kempen Budaya 3M Bazar Ramadan di Wakaf Bharu, di sini hari ini.

Dr. Zaini memberitahu, sebanyak 54 pasukan diwujudkan bagi menjalankan penguatkuasaan di bazar-bazar Ramadan di seluruh negeri membabitkan 194 Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam.

“Tahun ini terdapat 65 bazar Ramadan di seluruh Kelantan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT). Kesemua bazar Ramadan ini melibatkan 3,780 petak perniagaan,” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN