PETALING JAYA : Penternak ayam berterusan mengeluh ekoran kenaikan harga dedak yang meningkat sebanyak RM3 pada April ini sekali gus mengakibatkan kos operasi meningkat.
Hal itu menjawab mengapa harga ayam proses melambung kembali sehingga boleh mencecah RM10 sekilogram pada waktu masyarakat Islam menyambut bulan Ramadan.
Menurut penternak, Mazlina Kamarudin, 55, yang juga Pengarah Urusan Bismi Empire Sdn. Bhd. (Ayam Bismi), kenaikan itu adalah tertinggi tahun ini yang menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM38 setiap kampit dedak seberat 50 kilogram sejak Oktober 2020.

“Harga dedak pada bulan ini sudah naik sehingga RM38 (sekampit).
“Kami (penternak) juga berada dalam ketidakpastian termasuk tentang subsidi yang dijanjikan oleh kerajaan masih belum ada apa-apa lagi.
“Jika dapat mungkin boleh tampung kos dedak ini. Kita harap kerajaan percepatkan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Beliau mendakwa, kerajaan tidak mengambil tindakan drastik terhadap isu dedak ini.
“Yang jadi mangsa adalah penternak kerana kenaikan harga dedak itu berdasarkan tampungan daripada subsidi daripada kerajaan. Jangan beri pelan jangka panjang nak tanam sendiri jagung dan guna kelapa sawit kerana penternak makin tenat sekarang,” katanya.
Pada masa sama, katanya, beliau tidak menafikan peningkatan kos operasi dan penyelenggaraan ternakan ayam itu kini mengakibatkan mereka yang terlibat bergelut termasuk terpaksa bergantung kepada pinjaman bank demi kelangsungan perniagaan masing-masing.
“Ramai penternak bertahan kerana pinjaman bank. Sampai satu hari nanti kalau terus bergantung kepada bank dan tidak mampu bayar mereka akan muflis.
Sementara itu peniaga di di Sungai Petani Kedah, memberitahu harga ayam proses di negeri ini mengalami kenaikan tertinggi tahun ini apabila dijual pada RM10 sekilogram sejak awal April berbanding RM9.10 pada bulan lalu.
Peniaga ayam di Taman Ria Jaya di sini, Fairul Rizal Yusuf, 47, berkata, dia terpaksa menjual ayam dengan harga tinggi apabila harga yang dibeli daripada pemborong mencapai RM8.50 sekilogram berbanding sebelum ini cuma RM7.60 sekilogram.
Seorang lagi peniaga ayam, Shahrul Izlan Shaharudin, 51, berkata, dia tidak menolak kemungkinan harga ayam terus meningkat menjelang hari raya kerana permintaan yang tinggi.
Shahrul Izlan menambah, dia difahamkan harga ayam di ladang kebiasaannya dibeli pada harga RM6.80 sekilogram tetapi pembekal pula yang menaikkan harga yang tinggi.
Peniaga ayam di pasar pagi Taman Ria, Zainuddin Hashim, 45, berkata, dia terpaksa menjual ayam dengan harga RM10 sekilogram sejak permulaan puasa kerana tiada pilihan demi meneruskan kelangsungan perniagaan.
Sementara itu tinjauan di Pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu mendapati walaupun bekalan barangan itu stabil di pasaran, namun harga jualan ayam tetap melambung sehingga RM10.50 sekilogram.
Seorang peniaga, Zul Fakri Amin Abdul Manan, 35, berkata, dia terpaksa menaikkan harga ayam kepada RM10 sekilogram sejak hari pertama Ramadan.-UTUSAN