Pengurus anak syarikat TNB didakwa kemuka tuntutan palsu

Pengurus anak syarikat TNB didakwa kemuka tuntutan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengurus sebuah anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan mengemukakan tuntutan elaun penginapan dan saraan palsu berjumlah RM1,855, tiga tahun lalu.

Norhayati Hamzah, 50, didakwa menggunakan empat dokumen mengandungi tuntutan elaun penginapan dan saraan palsu antara 22 Disember 2019 dan 5 Februari 2020.

Mengikut pertuduhan utama, wanita itu sebagai pengurus di TNB Power Generation Sdn. Bhd. didakwa dengan niat untuk memperdaya prinsipalnya iaitu Pengurus Jabatan Audit dan Pematuhan di syarikat tersebut, Mohd. Kamal Zulkawi.

Dokumen dengan butiran matan palsu itu digunakan Norhayati untuk mengelirukan prinsipalnya dan tertuduh tahu perjalanan dan penginapan tersebut sebenarnya tidak dibuat.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pejabat TNB Power Generation Sdn. Bhd. di Bangunan Penjanaan, Jalan Bangsar, di sini di antara 17 Januari dan 26 Februari 2020.

Norhayati didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan dengan curangnya menggunakan empat dokumen tulen yang mengandungi tuntutan elaun penginapan dan saraan sama yang mana diketahuinya mengandungi butiran palsu di tempat dan masa sama.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan.

Peguam K. Komagan yang mewakili Norhayati bagaimanapun memohon jaminan rendah dalam lingkungan RM3,000 dan RM5,000 atas alasan anak guamnya masih bekerja dengan TNB Power Generation Sdn. Bhd. dan tidak mempunyai sebarang isu tatatertib dengan syarikat tersebut.

Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan selain menetapkan 12 Mei ini untuk sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya