Pencerobohan tentera China cabul kedaulatan negara

Pencerobohan tentera China cabul kedaulatan negara

AHMAD HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan perlu mengambil tindakan lebih tegas bagi memastikan kedaulatan negara tidak terus dicabuli susulan tindakan China yang dilihat sekali lagi menceroboh perairan dan ruang udara Laut China Selatan.

Difahamkan sejak awal April pesawat pejuang ‘halimunan’ termoden China, J-20 direkodkan berlegar di ruang udara Laut China Timur dan Laut China Selatan untuk melakukan rondaan dan latihan rutin.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan berkata, alasan kerajaan China yang menyatakan mereka sekadar menjalani latihan ketenteran tidak lagi boleh diterima kerana mereka sudah merentasi sempadan antarabangsa.

Pencerobohan sempadan yang berlaku meletakkan Sabah dalam keadaan membimbangkan kerana negeri ini terlibat secara langsung dengan konflik pertindihan wilayah dengan China.

Ahli Majlis Tertingi Parti Warisan (Warisan) itu berkata, Sabah dan Sarawak akan menjadi wilayah yang berada di barisan hadapan sekiranya isu geo politik ini tidak ditangani dengan segera.

“Campur tangan kerajaan persekutuan melalui Kementerian Pertahanan serta agensi-agensi berkaitan perlu kerana ancaman ini menjejaskan aktiviti pembangunan ekonomi maritim.

“Pencerobohan sempadan perairan dan ruang udara Laut Cina Selatan tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak.

“Pencerobohan maritim telah berlaku banyak kali dan rekod daripada Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 2018 memberi amaran melalui angka pencerobohan sebanyak 89 kali bermula 2016 hingga 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sepanjang tahun lalu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melaporkan 23 kes pencerobohan di Zon Ekonomi Eksklusif Negara (EEZ).

Jelas beliau, China bertindak lebih agresif berikutan kewujudan pakatan strategik keselamatan baharu Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (Aukus) yang dilihat memberi ancaman terhadap mereka.

Ahmad turut mempersoalkan langkah yang akan diambil oleh Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan untuk mengatasi isu pencerobohan tersebut kerana Malaysia mempunyai hubungan perdagangan baik dengan China.

“Siri pencerobohan ruang udara dan maritim Borneo serta pantai timur Semenanjung yang berlaku selepas pandemik Covid-19 menggambarkan betapa Wisma Putra dan Kementerian Pertahanan tidak mempunyai apa-apa pelan mitigasi terhadap krisis keselamatan negara,” katanya.

Jelas beliau, Malaysia harus bertindak secara kolektif bersama negara-negara Asean untuk mencapai resolusi dan kesefahaman bersama China bahawa tindakan mereka menceroboh sempadan perairan negara lain perlu dihentikan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya